3 sekeluarga maut, 3 lagi cedera dalam nahas di Sitiawan

Aida Aziz
Disember 10, 2022 06:00 MYT
Anggota bomba cuba memadamkan api pada kereta Chevrolet yang terbakar dalam nahas yang turut mengorbankan tiga sekeluarga di Jambatan Tengku Permaisuri Bainun lewat malam tadi. -JBPM Perak
MANJUNG: Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala tiga lagi cedera dalam nahas jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jambatan Tengku Permaisuri Bainun, di sini, lewat malam tadi.
Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 11 malam itu melibatkan kereta jenis Proton Saga dan Chevrolet.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, terdapat lima mangsa dari kereta Proton Saga, di mana tiga daripadanya maut dan dua lagi cedera.
Manakala seorang mangsa wanita dari kereta Chevrolet pula mengalami kecederaan.
"Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.13 malam dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan bergegas ke lokasi.
"Kemalangan membabitkan dua kenderaan dan mengakibatkan kereta jenis Chevrolet terbakar 80 peratus.
"Dipercayai lima mangsa dari Proton Saga ada kaitan keluarga, pasangan suami isteri dan seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan cedera.
"Seorang mangsa wanita dari Chevrolet pula cedera, dan kesemua mereka tidak tersepit.
"Identiti dan hubungan kesemua mangsa dalam siasatan pihak polis," katanya dalam kenyataan pada awal pagi Sabtu.
Nahas Jalan Raya | Tiga beranak maut kemalangan di Sitiawan
Katanya, anggota bomba kemudiannya membuat rawatan awal kepada mangsa dan menyerahkan mangsa yang maut kepada pihak polis untuk tindakan.
Mangsa yang cedera pula dibawa ke hospital berdekatan oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi rawatan lanjut.
Operasi yang diketuai PKPgB Mohd Azizi Zakaria itu tamat pada jam 12.53 tengah malam.
#Jambatan Tengku Permaisuri Bainun #nahas dua kereta #tiga sekeluarga maut #Proton Saga dan Chevrolet
;