3 sebab mengapa cinta perlu jadi teras falsafah pendidikan di Malaysia

Anas Alam Faizli
Januari 3, 2017 10:11 MYT
Cinta merupakan puncak dalam penyelesaian kepada semua masalah dunia; bukan sahaja pendidikan, tetapi juga sosial dan ekonomi.
Cinta.
Alangkah dalamnya perkataan ini.
Ada ketika definisinya mudah difahami.
Ada kala pula maksudnya terlalu luas dan mendalam, dengan pelbagai konotasi dan ekspresinya.
Semua jiwa tentu pernah merasai apa itu cinta, sama ada kita bersedia atau tidak untuk menerima atau menghargainya.
MESTI BACA: Hasrat 2017 untuk Malaysia: Ke mana halatuju kita?
Ada di antara kita yang cuba mengkaji fenomena cinta itu dengan lebih mendalam, dan ada yang lebih gemar dibuai sahaja perasaan cinta itu tanpa benar-menar memahaminya. “Dengan sentuhan cinta, semua orang jadi penyair”, kata Plato.
Lantas perbincangan tentang Cinta tentu sekali tidak terlepas daripada penelitian falsafah sejak dari era Yunani purba.
Hari pertama persekolahan 2017
Plato dalam karya agungnya Symposium menyifatkan Cinta sebagai suatu proses peningkatan; Cinta pada tahap paling rendahnya berupa hanya sebagai nafsu erotik (eros), yang kemudiannya boleh ditingkatkan menjadi suatu pengalaman intellektual, kehormatan dan keintiman ke atas objek yang dicintai (philia), dan kemudiannya mencapai tingkat tertinggi melalui pandangan ketuhanan dan spiritual terhadap Cinta (agape).
Agama juga membantu kita dalam memahami cinta.
Malah, sumber-sumber keagamaan sebenarnya lebih holistik berbanding falsafah atau teori-teori psikologi dan sains, kerana agama merupakan pendedahan kepada manusia daripada tuhan dan telah melepasi ujian masanya dalam merentasi sejarah.
Agama kristian melihat Cinta sebagai sifat tuhan terhadap umat manusia yang dibuktikan melalui pengorbanan Nabi Isa A.S. demi menyucikan umatnya daripada dosa.
Penganut Kristian membalas cinta ini dengan kepercayaan dan kesetiaan mereka.
Agama Buddha itu sendiri diwujudkan berasaskan cinta Siddharta Gautama terhadap manusia yang cenderong bertelagah antara satu sama lain lalu menghalang diri mereka sendiri daripada mengecapi kebebasan abadi.
Al-Quran, kerasulan nabi Muhammad S.A.W., panggilan da’wah kepada Islam dan kehidupan yang menjadi contoh teladan berkurun lamanya selepas kedatangan Islam menunjukkan kepada umat Islam betapa luasnya pengaruh cinta; cinta terhadap Allah S.W.T., cinta terhadap diri sendiri, dan alam sekeliling sebagai batu asas kepercayaan kita.
Oleh itu, tidak wajar sama sekali jika premis untuk mendefiniskan cinta itu diterhadkan kepada kemahuan nafsu semata-mata.
Cinta itu relevan dalam semua aspek kehidupan, termasuklah hubungan kemanusiaan, agama, politik, dan berpotensi besar meniupkan pembaharuan dan boleh merevolusikan pendidikan manusiawi.
Sejak Friedrich Schiller menukilkan Aesthetic Education of Man pada 1794, banyak karya lain menyusul merentasi zaman seperti Metodo della Pedagogia Scientifica II oleh Maria Montessori pada 1909 dan Deschooling Society oleh Ivan Illich pada 1971 serta beberapa lagi karya yang memberikan impak besar dalam bidang pendidikan.
Hal ini menggambarkan betapa manusia, dalam melalui sejarah peradabannya yang berbeza-beza, masih mencari-cari kaedah pengajaran dan pembelajaran anak-anak atau pedagogi yang terbaik untuk sistem persekolahan formal masing-masing. Menariknya, tanpa di sedari jawapannya mungkin terletak di hadapan mata kita sahaja.

Peranan Besar Falsafah Pendidikan Negara
Kajian empirikal menunjukkan bahawa pembangunan pendidikan dan kemajuan sesebuah negara berkait rapat dengan kewujudan sebuah falsafah yang jelas, fokus dan tertumpu dalam sistem pendidikan negara terbabit.
Melihat contoh sistem pendidikan Finland yang diangkat sebagai sistem pendidikan terbaik abad ini, terdapat suatu penumpuan jelas terhadap kesamarataan (inclusion).
Istilah pembahagian kelas pintar-corot tidak wujud sama sekali.
Anak-anak dibimbing mengikut keperluan individual mereka untuk sekurang-kurangnya menghabiskan pendidikan asas. Yang lebih pintar membantu yang lemah. Kemanusiaan.
Di negara Jepun pula, kita melihat kadar keciciran (berhenti sekolah) yang begitu rendah kerana terdapat falsafah pendidikan negara yang berfokuskan akhlak bermoral dan disiplin.
Kehidupan yang baik dijanjikan untuk mereka yang berdisiplin dalam pendidikan.
Walaupun dianugerahkan tuhan dengan sumber kekayaan hasil bumi yang tidak seberapa, Korea juga telah mencapai tahap kemajuan seperti yang dinikmatinya kini, kerana menelurusi ajaran Confucianism sebagai falsafah pendidikan mereka.
Pendidikan dilihat sebagai langkah memperkasakan watak, dan bukannya sekadar menaikkan status sosial seseorang.
Di Amerika, falsafah pendidikan dan kehidupan diletakkan ke atas pragmatisme.
Ahli akademik percaya bahawa falsafah ini lah yang menjadi resipi kejayaan sains dan teknologi Amerika sehingga manusia berjaya mendarat di bulan.
Di Malaysia, Falsafah Pendidikan Negara (FPN) bertujuan untuk “memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
Berdasarkan pemerhatian sahaja, sudah dapat disimpulkan bahawa FPN tewas di gelanggangnya sendiri.
Hasil yang diinginkan jelas, tetapi falsafah di sebaliknya samar dan tidak fokus.
Terlalu banyak yang ingin dicapai.
Apakah itu keseimbangan?
Hal ini menyukarkan pembuat polisi pendidikan untuk merekabentuk sistem pelaksanaan dan insentif yang sesuai, kerana ketiadaan prinsip yang jelas.
Natijahnya anak-anak yang lahir melalui sistem pendidikan sedemikian dangkal dalam aspek-aspek insaniah dan bukan intelektual yang diingankan oleh FPN sendiri.
Malah ramai juga anak-anak yang tidak berjaya walaupun dari segi intelektual.
Oleh itu, langkah memfokuskan kembali falsafah pendidikan kita menjadi suatu keperluan kritikal.
Falsafah ini bakal menjadi rangka kerja asas dan idea pokok dalam usaha menyediakan pendidikan bertaraf dunia kepada rakyat Malaysia, dan lebih penting lagi, pendidikan yang memanusiakan manusia.

Adakah Kita Mengalami Krisis Pendidikan?
Dewasa ini rakyat Malaysia semakin vokal dalam isu pendidikan negara.
Berpandukan pemerhatian ke atas kesan-kesan sistem pendidikan Malaysia pasca DEB, kita mengkritik penumpuan melampau terhadap peperiksaan, polisi pendidikan yang dipolitikkan, dan pemfokusan terhadap memenuhi peluang pekerjaan sehingga menggadaikan nilai ilmu pengetahuan itu sendiri.
Namun, bilakah sebenarnya sistem pendidikan itu dianggap kritikal?
Sesebuah sistem pendidikan itu mengalami krisis apabila masyarakat yang lahir daripadanya terasing daripada tujuan sebenar pendidikan, termasuklah mereka yang dianggap “berjaya” melalui kaedah penilaian konvensional.
Benar, tujuan sebenar pendidikan itupun sebenarnya satu titik permulaan yang bermasalah, kerana bagi lain orang, lain tujuan pendidikannya.
Tetapi, cukup untuk kita sandarkan penilaian kita di sini kepada FPN sebagai tujuan pendidikan yang sepatutnya menjadi tujuan ulung pendidikan.
Jadi, bagaimanakah pelajar boleh terasing daripada tujuan sebenar pendidikan?
Pertama, kaedah pembelajaran kini mengetengahkan guru sebagai watak utama, dan bukannya anak-anak.
Guru seorang sosok yang ditakuti yang menyampaikan maklumat yang dianggap kebenaran mutlak kepada pelajar.
Dapat disaksikan dewasa ini bagaimana anak-anak yang lulus cemerlang juga boleh akhirnya menjadi satu bukti kegagalan sistem pendidikan itu sendiri.
Terdapat tiga dimensi kepada sesebuah pendidikan yakni penubuhan institusi pendidikan, penetapan sukatan pelajaran dan pedagogi.
Sektor pendidikan di Malaysia cukup berjaya dalam dua dimensi yang pertama, tetapi gagal pada dimensi ketiga, yakni dalam memberikan perkhidmatan kepada “pelanggan-pelanggan” sebenarnya iaitu para murid.
Kegagalan ini berkait dengan kegagalan usaha memanusiakan manusia, seperti yang diperjuangkan oleh Malik Bennabi, daripada menjadi robot yang berjaya dari segi akademik dan ekonomik tetapi kosong tanpa roh, peri kemanusiaan, dan akhlak terpuji.
Namun, fenomena ini hanya gejala kepada satu “penyakit” yang menjadi punca sebenar; cinta itu tidak wujud dalam FPN, mahupun dalam pedagogi kita.
Entah bagaimana, reka bentuk sistem pendidikan rasmi telah menyimpulkan bahawa jarak professional di antara guru dan pelajar itu sesuatu yang diterima pakai secara amnya.
Anak-anak pula tiada galakan untuk berganding bersama dengan rakan-rakan dalam mencari ilmu; mereka lebih cenderung menjaga hal masing-masing.
Rakan-rakan seronok dibuat teman ketika waktu rehat, tetapi lawan sampai mati di dalam bilik darjah.
Cinta diasingkan sama sekali daripada konteks pedagogi formal, dan dibiarkan dalam konteks tidak formal seperti pedagogi ibubapa-dan-anak di rumah.
Model jarak antara guru-dan-murid ini adalah satu pendidikan yang memberi kesan konteks meluas dalam kehidupan kita, lantas menyukarkan perhubungan sesama kita dalam masyarakat.
Model ini menjadi norma yang cukup berpengaruh ke atas etika, kesedaran sivik dan nilai kejiranan kita.
Nah, di sinilah di mana pelajar yang lulus cemerlang sekalipun telah “digagalkan” oleh sistem pendidikan.
Pelajar yang mendapat kurang kasih sayang di rumah lebih bernasib malang; sudahlah kekurangan sentuhan cinta di rumah, kasih sayang daripada guru dan teman-teman di sekolah pun tidak dapat dirasai.
Tidak mengejutkanlah apabila mereka ini memasuki masyarakat sebagai manusia yang langsung tidak memenuhi ciri-ciri yang diinginkan oleh FPN sendiri.

Revolusi Cinta Kepada Pedagogi dan Falsafah Pendidikan
Paulo Freire mencadangkan cinta sebagai solusi dalam rangka kerja pendidikan tersohor beliau menerusi Pedagogy of The Oppressed.
Para pelajar dilihat sebagai gologan tertindas, manakala sistem pengajaran sebagai yang menindas.
Beliau berpendapat hal ini berpunca daripada hubungan guru dan murid yang terasing; seorang berada di kedudukan yang lebih tinggi, dan seorang lagi sekadar menerima di kedudukan yang lebih rendah.
Guru dan murid tidak wujud sebagai satu unit yang bersama-sama mencapai tujuan akhir pendidikan.
Teori Frantz Fanon turut menyamakan golongan intelektual sebagai golongan yang dijajah oleh sistem yang menjajah.
Tetapi bagaimanakah cinta dapat menyegarkan kembali sistem pedagogi formal dan menyelesaikan masalah-masalah sistem pendidikan kini?
Teori psikologi “Segitiga Cinta” Robert Sternberg 1986 menegaskan keintiman, semangat keberahian dan kesetiaan sebagai binaan-binaan asas cinta.
Walaupun lazimnya digunapakai untuk menerangkan potensi cinta dalam perhubungan sesama manusia secara amnya, teori ini mampu diaplikasikan untuk melihat peranan cinta dalam perkembangan IQ anak-anak:

1) Keintiman yang lahir menerusi ikatan dan hubungan membina asas kukuh kepada proses penyampaian ilmu pengetahuan daripada guru kepada murid.
Keintiman memudahkan komunikasi sehingga para pelajar tidak takut bertanya soalan.
Pelajar juga merasakan keselesaan psikologi yang akan melahirkan perasaan kagum dan teraspirasi, seperti “saya ingin mencari jawapannya bersama cikgu,” ataupun “saya ingin menjadi pandai seperti cikgu”.
Kemudian semangat berahi melengkapkan pedagogi melalui kuasa motivasinya dalam mencari ilmu.

2) Cinta yang berahi menyuntikkan semangat dalam pengalaman akademik pelajar.
Semangat untuk belajar dan berjaya dalam pelajaran yang bermotivasikan cinta menjadi penggerak yang jauh lebih kuat berbanding insentif lain seperti hadiah yang dijanjikan oleh ibu bapa, pengiktirafan guru dan sekolah, atau keinginan memasuki universiti-universiti ternama.

3) Komponen ketiga cinta, iaitu kesetiaan, menitipkan aspek ketetapan dan kesinambungan dalam pembelajaran.
Apabila seorang pelajar mencapai keputusan bahawa dia mempunyai rasa cinta untuk belajar dan dia mencintai gurunya sebagai pendidik, beliau terdorong untuk mencapai destinasi akhir pendidikannya dengan rasa tanggungjawab dan kesetiaan.

Bagaimana pula pengaruh cinta dalam konteks EQ?
Sejak sekolah lagi, persaingan antara pelajar menjadi satu kebiasaan; misi pelajar ke sekolah adalah untuk dialirkan dalam kelas-kelas teratas, berpandukan kemahuan-kemahuan material.
Jadi mereka mungkin berjaya mendapatkan A dalam semua mata pelajaran, tetapi emosi mereka kosong tanpa cinta.
Mereka bersaing secara tidak sihat, dari kecil sehinggalah memasuki alam pekerjaan, berpegang dengan fahaman kemenangan sebagai kejayaan mengalahkan orang lain.
Tetapi apabila benih-benih cinta, kasih sayang dan belas kasihan ditanam dalam diri mereka, suatu sifat tanggungjawab tumbuh secara tidak langsung.
Yang pintar membantu yang lemah.
Dengan cinta, nilai-nilai persaudaraan dan ukhuwwah diajar awal dari sekolah!

Cadangan Mengkaji Semula Falsafah Pendidikan Negara
Ditubuhkan atas dasar cinta, TFTN melalui duta-dutanya mengenal pasti dan membantu secara langsung pelajar-pelajar dalam sistem persekolahan kebangsaan yang ketinggalan dalam pencapaian akademik dan motivasi diri akibat kekurangan kasih sayang daripada keluarga.
Tetapi, sebanyak manalah yang mampu dipikul oleh kumpulan kecil guru-guru ini.
Pembaikan dan usaha pembaharuan juga perlu datang dari peringkat atas.
Pelaksanaan sistem pendidikan negara dan segala serba serbi hasil daripadanya bergantung kuat kepada falsafah pendidikan itu sendiri.
Falsafah menjadi teras kepada reka bentuk polisi, dan insentif kepada pelaksanaanya.
Masyarakat Malaysia merupakan suatu percampuran unik yang berbilang bangsa, pemikiran, agama, latar belakang dan budaya.
Dalam menelurusi jalan pembangunan dengan penuh perpaduan, cinta antara satu sama lain perlu wujud dalam perasaan setiap daripada kita.
Belas kasih dan toleransi melalui cinta tidak akan datang secara tiba-tiba, apatah lagi jika dipaksa ke atas golongan dewasa melalui bermacam jenis peraturan apabila kita tidak diajar sejak kecil untuk mencintai lebih daripada kekasih ataupun keluarga terdekat kita sahaja.
Saya mencadangkan bahawa FPN dikaji semula untuk menjadi lebih fokus, dan meletakkan cinta sebagai pedagogi dan falsafah utamanya untuk mengecapi tujuan murninya yakni memanusiakan manusia.
Jika dilihat sebenarnya, bukan cinta itu sendiri yang menjadi matlamat agung kita, tetapi nilai-nilai yang lahir bersamanya seperti semangat, tujuan dan komitmen dalam menjalani proses pendidikan, juga belas kasihan, murah hati, kesetiaan dan hormat-menghormati dalam konteks kehidupan.
Cinta bukan sesuatu yang “jiwang” semata-semata; cinta mempunyai kuasa revolusi dalam mencorakkan rentak sesebuah kemanusiaan.
Dewasa ini, banyak literatur dan tulisan kajian cinta sebagai pedagogi.
Saya menyeru dan menggesa para mahasiswa, penyelidik, pensyarah dan semua ahli akademik untuk meneruskan kelangsungan usaha mewujudkan rangka kerja pedagogi, berteraskan falsafah pendidikan negara yang berasaskan cinta.
Tanpa cinta, kasih dan sayang, roh itu kosong dan hambar.
Maka tidak kiralah berjaya dalam akademik atau tidak, keputusannya tetap sama.
Cinta merupakan puncak dalam penyelesaian kepada semua masalah dunia; bukan sahaja pendidikan, tetapi juga sosial dan ekonomi.
Raikan cinta!
"Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat tetapi membangkitkan semangat"– HAMKA

*Anas Alam Faizli memegang ijazah kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan. Beliau adalah seorang professional bidang pembinaan dan minyak & gas, seorang warganegara Malaysia yang prihatin dan adalah pengarang Rich Malaysia, Poor Malaysians dan bertweet di @aafaizli
** Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Anas Alam Faizli #Falsafah Pendidikan Negara #FPN #murid #pendidikan #sekolah
;