3 sahabat mengaku tidak bersalah rogol gadis
Bernama
Januari 10, 2013 21:32 MYT
Januari 10, 2013 21:32 MYT
Tiga sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang gadis bawah umur di sebuah pondok dalam kawasan sawah padi di Jalan Ngulang, Mata Ayer pada 31 Jan 2012.
Mohamad Fitri Salleh, 21, seorang tukang rumah, dituduh melakukan perbuatan itu antara pukul 8.30 malam dan 8.45 malam.
Dua lagi tertuduh yang bekerja sendiri iaitu Nor Azwan Ibeniamin, 23, dituduh melakukan perbuatan itu antara 9 malam dan 9.10 malam manakala Mohamad Yusri Rosli, 19, pula antara 9.20 malam dan 9.30 malam pada tarikh yang sama.
Mereka yang semuanya beralamat di Kampung Baroh dekat sini dituduh secara berasingan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan kerana merogol gadis yang ketika itu berusia 14 tahun empat bulan di lokasi sama.
Sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh dikenakan tidak kurang sepuluh sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Fazrul Sani Mohd Fadzil memohon mahkamah menawarkan ikat jamin yang tinggi terhadap ketiga-tiga tertuduh namun peguam Jabatan
Bantuan Guaman Suhaila Ahmad merayu mahkamah mengenakan ikat jamin paling minimum kerana kedudukan kewangan kesemua tertuduh.
Hakim Azman Ahmad kemudiannya memerintahkan setiap tertuduh dikenakan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 7 Feb untuk sebutan semula kes.