3 penyokong JDT didenda RM100 bakar suar di perkarangan Stadium Darul Aman

Adie Sufian Zulkefli
Julai 23, 2024 09:50 MYT
Mereka didakwa membakar suar di pekarangan Stadium Darul Aman selepas perlawanan pusingan pertama Piala FA antara JDT dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), pada 19 Julai lalu.
ALOR SETAR: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhi hukuman denda RM100 setiap seorang terhadap tiga penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas mengaku salah membakar suar di perkarangan Stadium Darulaman, ketika perlawanan Piala FA antara Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang JDT Jumaat lalu.
Tertuduh Jalali Hamid, 47, dan Mohd Faizol Mohd Sapian, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zul Hilmi Latif.
Seorang lagi tertuduh, Mohamad An'naffi Sahid, 34, membuat pengakuan sama dalam pertuduhan berasingan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.
Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa membakar suar di pekarangan Stadium Darul Aman, kira-kira jam 10.45 malam, selepas perlawanan pusingan pertama Piala FA antara JDT dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), pada 19 Julai lalu.
Perbuatan tertuduh disaksikan sepasukan pegawai dan anggota polis yang melihat mereka menyalakan suar di tempat letak bas penyokong JDT, berhampiran pekarangan stadium berkenaan.
Berikutan itu, ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100 atau dipenjarakan sebulan atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farhanah Fuad Mohamad Faiz dan J Banusha, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tasha Farha Mohamad Nizam dan H A Chuah.
Ketiga-tiga mereka didenda RM100 setiap seorang atau penjara 15 hari jika gagal membayar denda berkenaan.
Semua tertuduh bagaimanapun membayar denda berkenaan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.
#JDT #bakar suar #Kedah #hukuman denda