3 pengganas lepas lari selepas bertempur di Sungai Bilis
Aizat Sharif
Mac 27, 2013 17:53 MYT
Mac 27, 2013 17:53 MYT
Tiga pengganas Sulu dilaporkan bertempur dengan anggota keselamatan negara pagi tadi di Sungai Bilis, Lahad Datu.
Namun begitu tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pengganas berjaya melepaskan diri.
Dalam satu sidang media di Lahad Datu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata kejadian berlaku pada jam 7.30 pagi ketika pasukan keselamatan sedang giat menjalankan operasi ‘mopping up’ dan penggeledahan di kawasan Sungai Bilis.
“Anggota pengganas itu secara tiba-tiba bertembung dengan pasukan keselamatan dan bertindak melepaskan tembakan. Pasukan keselamatan kemudiannya membalas tembakan dan berlakulah pertempuran,” kata Hamza.
Ekoran dari pertempuran itu, pengganas telah melarikan diri dari kawasan itu dan anggota keselamatan menemui sepucuk pistol berserta enam butir peluru dan sebilah parang di tempat kejadian.
Dalam perkembangan yang sama, anggota keselamatan masih lagi menjalankan operasi ‘mopping up’ di kawasan Kampung Tanduo, Sungai Nyamuk dan Tanjung Batu.
Malah,ianya akan diteruskan ke bahagian Kampung Tanjung Batu hinggalah ke Sungai Bilis.
Hamza turut menyatakan bahawa pihak keselamatan bercadang untuk tidak menempatkan penduduk Kampung Tanduo itu di tempat terbabit.
“Memandangkan jumlah pendudk kampung itu tidaklah ramai, kita akan mengadakan perbincangan untuk menempatkan mereka di suatu tempat yang tidak berapa jauh dari kawasan tersebut dengan kerjasama Felda,” kata Hamza.
Disamping itu juga, beliau akan mengadakan mesyuarat pada petang ini dengan pihak pejabat daerah, pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ketua-ketua masyarakat untuk membincangkan proses untuk membawa penduduk kampung kembali ke rumah masing-masing.
Pihak keselamatan juga akan menetapkan satu tarikh samada esok ataupun lusa untuk menentukan taksiran jumlah kerosakan dilakukan.
“Rumah-rumah penduduk yang mengalami kerosakan akan dinilai dan ditaksirkan dan selepas itu barulah kita akan melihat samada akan membenarkan atau tidak penduduk Kampung Tanjung Batu itu kembali menduduki rumah mereka,” kata beliau.
Beliau percaya usaha-usaha ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Hamza turut menambah bahawa keadaan seorang kanak-kanak lelaki yang mengalami kecederaan yang ditemui dalam sebuah rumah ketika pertempuran dengan dua pengganas pada Ahad lalu di Kampung Tanjung Batu berada dalam keadaan stabil.
Kanak-kanak itu ditemui bersama empat mayat termasuk dua mayat kanak-kanak dalam rumah itu.
Mayat-mayat itu pula bukan warga tempatan namun mereka dipercayai bersubahat membantu anggota pengganas apabila anggota keselamatan menemui bekalan makanan yang banyak dalam rumah itu.
Sehingga hari ini, seramai 67 pengganas Sulu telah ditembak mati oleh pasukan keselamatan negara.
Seramai 119 pengganas dan individu yang mempunyai kaitan dengan pengganas telah ditahan dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan 316 individu pula ditahan atas kesalahan-kesalahan lain.
Lapan pengganas pula telah dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan.
Klik video untuk melihat sidang media penuh.