3 parah kereta terjunam jatuh gaung di Gerik

Aida Aziz
Oktober 25, 2022 18:53 MYT
Anggota bomba mengeluarkan mangsa dari kereta Proton Iriz yang terjatuh ke dalam gaung dekat Jalan Gerik- Kupang, Perak, hari ini. - Gambar ihsan JBPM Perak
GERIK: Tiga parah selepas kenderaan jenis Proton Iriz yang dinaiki mereka dipercayai bertembung dengan sebuah lagi kenderaan sebelum terjunam ke dalam gaung dekat Jalan Gerik- Kupang, di sini hari ini.
Difahamkan kemalangan yang berlaku sekitar pukul 3 petang itu disebabkan kereta jenis Proton Iriz dari arah Gerik dilanggar dari arah bertentangan oleh sebuah kereta jenis Honda Civic.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.41 petang.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik bergegas ke lokasi dan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan.
"Terdapat seorang pemandu lelaki berada dalam kereta Honda Civic dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Manakala kereta Proton Iriz terjunam dalam gaung dengan anggaran kedalaman 2 meter dari bahu jalan.
"Terdapat tiga orang mangsa dari kereta itu, iaitu seorang lelaki dan dua wanita tersepit di dalam kereta serta cedera parah," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba kemudiannya melakukan 'size up' dan memberikan rawatan awal kepada mangsa yang terperangkap serta cedera.
Ujarnya, mangsa dibawa keluar menggunakan peralatan menyelamat dan dibawa naik menggunakan pengusung.
Seterusnya, mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Nizam Zakaria itu tamat pada pukul 4.50 petang.
#tiga parah #kereta terjunam #kemalangan #jatuh gaung di Gerik
;