3 November sebutan semula 164 pertuduhan ke atas Ketua UMNO Bayan Baru

Dewi Nur Harasha Alias
September 28, 2021 08:20 MYT
Mansor Muda didakwa 164 pertuduhan kes pengubahan wang haram berjumlah RM20.22 juta. - Gambar Astro AWANI
BUTTERWORTH: Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini menetapkan 3 November depan sebagai tarikh sebutan semula bagi 164 pertuduhan kes pengubahan wang haram berjumlah RM20.22 juta membabitkan Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Ir. Mansor Musa.
Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menetapkan tarikh berkenaan bagi pengurusan kes selepas menerima permohonan daripada pihak pendakwaan untuk kesemua pertuduhan itu dibicarakan secara bersama.
Sebutan semula kes pada hari ini dibuat secara bersama apabila Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Butterworth dengan alasan ia membabitkan dokumen dan saksi sama.
Semasa prosiding, peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili tertuduh memohon agar ikat jamin yang dikenakan di Mahkamah Kuala Lumpur dilepaskan dengan alasan kes itu dibicarakan secara bersama.
Pihak pendakwaan tidak membantah dengan permohonan itu.
Hakim Ahmad Zahari membenarkan permohonan tersebut sambil mengekalkan jaminan yang dibuat di Mahkamah Sesyen Butterworth beserta syarat-syarat lain yang turut dikekalkan.
BACA: Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru didakwa 106 tuduhan rasuah, ubah wang haram RM11 juta
BACA: Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru didakwa lagi dengan 58 pertuduhan rasuah berjumlah RM9.22 juta
Gubah Wang Haram | Kes Ketua UMNO Bahagian, disebut semula 30 November depan
Pada 12 Julai lalu, Mansor, 58, telah didakwa dengan 106 pertuduhan membabitkan nilai RM11 juta di Mahkamah Sesyen Butterworth.
Manakala pada 15 Julai lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung itu menghadapi 58 lagi pertuduhan membabitkan nilai RM9.22 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Beliau turut didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda hingga lima kali hasil daripada kegiatan haram itu atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara Disember 2008 hingga Ogos tahun lalu.
Mansor yang juga bekas pengerusi sebuah koperasi hartanah itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan.
Dia dibenarkan diikat jamin RM500,000 di Mahkamah Sesyen Butterworth dan RM200,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Law Chin Ho.
#Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru #Mansor Musa #pengubahan wang haram #164 pertuduhan