3 melecur, seorang sesak nafas, rumah panjang 33 pintu terbakar
Rudi Affendi Khalik
April 1, 2023 08:45 MYT
April 1, 2023 08:45 MYT
KUCHING: Tiga mangsa melecur manakala seorang lagi terpaksa dikejarkan ke hospital berdekatan selepas mengalami sesak nafas dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah panjang di Betong semalam.
Insiden berlaku di Rumah Peter Igoh, di Nanga Mujan, Skrang, menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Hendery Ardimanshah.
"Pihak kami menerima maklumat kejadian sekitar jam 3.32 petang dan segera mengaktifkan sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS, dengan kekuatan 11 anggota dari Balai Betong ke lokasi.
"Setiba di lokasi, pasukan mendapati kebakaran membabitkan rumah panjang 33 pintu yang musnah sama sekali," katanya
Turut musnah, tiga buah motosikal yang diparkir berhampiran rumah tersebut.
Selain empat yang cedera, yang kemudian dikejarkan ke Hospital Betong, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jelas Hendery, pasukannya melakukan kerja-kerja pemadaman menggunakan sumber air terbuka dari sungai berdekatan, menggunakan pam angkut.
Usaha pasukan, katanya, sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan lapan unit stor yang terletak berdekatan, selain membolehkan kerja-kerja overhaul dilakukan.
"Punca kejadian dan taksiran kerugian masih dalam siasatan," katanya lagi.
Difahamkan, rumah panjang tersebut didiami 129 penghuni, termasuk 13 kanak-kanak.