3 Mei sebutan semula kes pelajar maut SUV terjunam ke laut
Astro Awani
April 4, 2019 11:41 MYT
April 4, 2019 11:41 MYT
Mahkamah Majistret di sini menetapkan 3 Mei depan sebagai tarikh serahan dokumen bagi kes pemandu Toyota Vios, MK Vaitheswaran yang dituduh menyebabkan kematian seorang penuntut kolej dalam kemalangan atas Jambatan Pulau Pinang, 20 Januari lalu.
Majistret Jamaliah Abd Manap menetapkan tarikh berkenaan selepas mendapat permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nur Afiqah Zakaria ketika sebutan semula kes hari ini.
Kes sama disebut pada 18 Mac lalu.
Tarikh baru dipohon berikutan mahkamah baru mendapat laporan bedah siasat berhubung kematian Moey Yun Peng dan perlu menunggu arahan pengarah pendakwa raya negeri untuk tindakan lanjut.
Sebelum itu, tertuduh, 21 tahun, yang berbaju kemeja biru tiba di mahkamah jam 9 pagi dengan membonceng motosikal ditunggang bapanya.
Peguam tertuduh, S Parameswaran berkata, beliau tiada bantahan berhubung tarikh baru ditetapkan mahkamah dan akan menyerahkan dokumen yang diperlukan.
Pada 11 Feb lalu, Vaitheswaran yang bekerja sebagai pendandan rambut, didakwa tidak mengambil kira keadaan jalan raya hingga menyebabkan kematian Moey, 20 tahun, pada kejadian jam 3 pagi di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Prai.
Dia dituduh mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun serta denda tidak lebih RM20,000, selain hilang kelayakan lesen memandu.
Tertuduh sebelum ini dikenakan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin selain lesen memandu digantung sehingga kesnya selesai.
#Jambatan Pulau Pinang
#K Vaitheswaran
#kemalangan
#laporan bedah siasat
#mahkamah
#Mahkamah Majistret
#maut
#Moey Yun Peng
#penuntut kolej
#sebutan semula kes
#terjunam
#Toyota Vios