3 maut, 12 cedera akibat kemalangan jalan raya di Gua Musang

Astro Awani
Ogos 16, 2019 16:15 MYT
Keadaan dua kenderaan yang bertembung di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, di Gua Musang, Kelantan. - JBPM
Pasangan suami isteri antara tiga yang maut dan 12 lagi cedera dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, di Gua Musang, Kelantan pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kejadian kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 4.50 pagi ketika kenderaan Toyota Avanza dinaiki pasangan bersama tiga anak mereka dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Gua Musang.
Katanya, setibanya di lokasi kawasan selekoh, kenderaan yang dinaiki sekeluarga hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan sebelum bertembung dengan sebuah van Toyota Hiace yang dinaiki 10 sekeluarga dari arah bertentangan.
Mangsa yang maut dikenali sebagai, Che Azmi Che Hamzah, 48, dan isterinya, Nor Hayati Mohamed, 43, beralamat dari Taman Mesra di sini dan seorang lagi mangsa maut masih belum diperoleh.
Manakala, seramai 12 mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Gua Musang ialah penumpang kereta jenis Avanza iaitu anak pasangan yang maut, Mohamad Faris Faisal Che Azmi, 15 tahun, Mohamad Afiz Zulhilmi Che Azmi, 13 tahun Dan Nur Damia Sofea Che Azmi, 7 tahun.
Turut cedera menaiki kenderaan van jenis Toyota Hiace ialah Wan Zakiah Wan Abdul Razak, 39 tahun, Khaulah Zulfaizan,11 tahun, Ahmad Zaid Zulfaizan, 1 tahun, Siti Fatimah Zulfaizan, 15 tahun, Muhammad Saad Zulfaizan, 3 tahun, Masyitah Zulfaizan, 14 tahun, Sakinah Zulfaizan, 5 tahun, Mawaddah Zulfaizan, 7 tahun dan Solehah Zulfaizan, 9 tahun.
Mohd. Taufik berkata, pemandu van dan penumpang kereta Toyota Avanza, yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, pemandu kereta Toyota Avanza, Che Azmi juga suami kepada Nor Hayati meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Gua Musang.
Tambah Mohd. Taufik, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang terpaksa dikerah bagi membantu mangsa yang tersepit dalam dua kenderaan itu.
Katanya, kemalangan itu membabitkan bilangan mangsa paling ramai dan tindakan segera dilakukan termasuklah mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.
Mayat mangsa kemalangan itu di hantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan.
Kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Gua Musang #kemalangan #kemalangan maut #mangsa cedera #polis pdrm #suami isteri maut
;