3 mati lemas dalam insiden bot karam di Tanjung Ketapang
Astro Awani
Julai 24, 2014 00:20 MYT
Julai 24, 2014 00:20 MYT
Hasrat 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk pulang beraya di kampung halaman Indonesia musnah apabila bot pancung yang dinaiki mereka karam dilambung ombak.
Kejadian yang berlaku di 15 batu nautika barat daya Tanjung Ketapang, Muar pada pukul 5 pagi Khamis, mengorbankan tiga orang.
Semasa mengesahkan perkara ini, Ketua Penguatkuasa Maritim Pengkalan Batu Pahat, Leftenan Komander Maritim Iskandar Ishak berkata bot sepanjang 3 meter yang menggunakan enjin 75 kuasa kuda itu, dipercayai keluar dari laluan tikus dari Parit Bunga Muar menuju ke Tanjung Bengkalis Indonesia.
“Seramai 16 mangsa termasuk tekong berumur antara 19 hingga 41 tahun berjaya diselamatkan oleh kapal dagang yang lalu di perairan itu.
“Manakala tiga orang mati lemas dan bakinya masih hilang,” katanya pada sidang media di Pejabat Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di Batu Pahat, Johor.
Jelas Iskandar, hasil siasatan awal mendapati kesemua mangsa membayar tambang sebanyak RM650 hingga RM2500 untuk menggunakan perkhidmatan itu.
Kesemua mangsa yang selamat ditempatkan di pejabat APMM untuk diambil keterangan bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63, manakala tekong akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.