3 cedera, 26 penghuni selamat bumbung asrama anak yatim runtuh di Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
November 8, 2022 00:25 MYT
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, mangsa yang masing-masing berusia 8, 10 dan 14 tahun mengalami kecederaan pada kepala dan belakang badan. - Gambar/ Ihsan pembaca
GEORGE TOWN: Tiga penghuni asrama di Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang, di Jalan Scotland, di sini, cedera selepas sebahagian struktur bumbung bangunan itu runtuh dalam kejadian Selasa malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, mangsa yang masing-masing berusia 8, 10 dan 14 tahun mengalami kecederaan pada kepala dan belakang badan.
Semua mangsa terbabit dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jalan Perak, A'azelan Hassan memaklumkan pihaknya menerima laporan kejadian jam 9.42 malam sebelum pasukan dihantar ke lokasi kejadian.
"Seramai 30 penghuni asrama berada di bangunan berkenaan semasa kejadian berlaku manakala tiga mangsa dilaporkan cedera ringan," katanya.
Katanya, pasukan penyelamat sedang melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada runtuhan struktur susulan kejadian berkenaan.
Dalam pada itu, seorang penghuni berkata, ketika kejadian kebanyakan mereka berada di dalam bilik dan sedang mengulang kaji pelajaran.
“Semasa dalam bilik terdengar bunyi sesuatu di bahagian atas bumbung, selepas itu, bekalan elektrik terputus dan tiba-tiba siling bumbung di dalam bilik runtuh,” katanya.
Sementera itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hanya tiga penghuni cedera dan mangsa lain dalam kejadian itu.
“Kesemua mangsa kini sedang menerima rawatan di HPP dan buat masa ini, seramai 26 penghuni yang selamat dan tidak terkesan akan ditempatkan sementara di asrama Wisma Yatim Lelaki, kerana sembilan pelajar akan menduduki peperiksaan percubaan SPM esok (Rabu),” katanya.
#Wisma Yatim Pulau Pinang #asrama perempuan #bumbung runtuh #penghuni cedera
;