3 bilik pembedahan di Pusat Jantung Serdang mula beroperasi Jun - Dr Dzulkefly
Bernama
Mei 25, 2024 14:45 MYT
Mei 25, 2024 14:45 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga daripada empat bilik pembedahan di Pusat Jantung Serdang (PJS), Selangor akan mula beroperasi untuk kegunaan pembedahan elektif dan kecemasan pada bulan hadapan (Jun).
Perkara itu disahkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melalui satu hantaran ringkas di laman X hari ini.
"Dalam pada itu, perkhidmatan kardiologi angiogram di PJS dan rawatan kecemasan pesakit masih berjalan seperti biasa, menggunakan fasiliti di Hospital Sultan Idris Shah (Hospital Serdang)," katanya dalam hantaran tersebut.
Sebelum ini, Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung Serdang yang dibuka pada Disember 2022 dilaporkan berdepan beberapa isu teknikal, termasuk masalah bekalan elektrik.
Susulan itu, sebuah mesyuarat antara kontraktor PJS dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kerja Raya telah diadakan baru-baru ini dan pihak kontraktor memberi jaminan segala kerosakan dan kecacatan di fasiliti kesihatan tersebut, akan dibaiki menjelang Jun ini.
-- BERNAMA