3 anggota polis didakwa bunuh Dharmendran

Bernama
Jun 5, 2013 18:32 MYT
Tiga anggota polis berpangkat sarjan dan koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang tahanan lokap N. Dharmendran pada 21 Mei lepas.
Sarjan Jaffri Jaafar, 44, Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 45, dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 32, bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat siasatan cawangan khas D9, Tingkat 7, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah di sini antara 12.20 tengah hari dan 2.50 petang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan dicatat ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan di depan Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor.
Mahkamah kemudian menetapkan 9 Julai untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya S.Nithia memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
Peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili Jaffri, Datuk Baljit Singh mewakili Mohd Nahar dan Geethan Ram Vincent bertindak bagi Mohd Haswadi, turut memohon tarikh terdekat atas alasan anak guam mereka adalah anggota polis.
Peguam N. Surendren, Latheefa Koya dan M.Manoharan pula bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa.
Mengikut kenyataan Pejabat Peguam Negara hari ini, Dharmendran, 32, mati dalam lokap D9 pada 21 Mei semasa ditahan reman berhubung kes cubaan bunuh melibatkan senjata api.
Mangsa ditahan reman sejak 12 Mei lepas.
Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematiannya adalah disebabkan kecederaan akibat hentakan objek tumpul.
#bunuh #dakwa #Dharmendran
;