3,870 tan metrik minyak masak bersubsidi, industri dirampas di Tawau

Petrus Bernard
Mac 19, 2022 17:02 MYT
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Tawau, Sam Aminudin mengesahkan nilai keseluruhan rampasan di sebuah kilang pembungkusan minyak di daerah itu berjumlah RM136,988. - Foto KPDNHEP Sabah
TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tawau merampas kira-kira 3,870 tan metrik minyak masak di sebuah kilang pembungkusan, di sini pada Jumaat.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Tawau, Sam Aminudin berkata pemeriksaan ke atas kilang tersebut dilakukan pada jam 6.40 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati, premis pembungkus minyak masak tersebut disyaki telah melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Premis tersebut disyaki memiliki barang kawalan minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak munasabah terhadap kesalahan dibawah Peraturan 13 (1) PPKB 1974,” katanya.
Katanya, susulan itu, pasukan penguatkuasa melakukan rampasan sejumlah 29.699 tan metrik minyak masak subsidi dan 3,848 tan metrik minyak masak industri
“Turut disita beberapa dokumen daripada syarikat pembungkus tersebut untuk siasatan lanjut dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM136,988,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, KPDNHEP akan menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 ke atas pemilik premis.
“Jika sabit kesalahan, premis tersebut boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Manakala, syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sam berkata, KPDNHEP memandang serius terhadap syarikat yang melanggar undang-undang seumpama itu terutama yang diberi lesen serta kuota pembungkusan dan pembotolan barang kawalan subsidi.
“Orang ramai disaran untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan memberikan sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.” Katanya.
#Rampasan minyak masak #KPDNHEP Tawau #Akta Kawalan Bekalan 1961 #subsidi
;