3,633 ketua isi rumah di Melaka berstatus miskin tegar - Sulaiman

Bernama
Januari 9, 2022 14:44 MYT
Datuk Seri Sulaiman Md Ali (dua, kanan) beramah mesra dengan penerima sumbangan pada Program 'I Care For You' Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu hari ini. - Bernama
ALOR GAJAH: Sebanyak 3,633 ketua isi rumah (KIR) di Melaka berstatus miskin tegar dengan jumlah pendapatan isi rumah pada kadar RM1,289 sebulan direkodkan berdasarkan data e-Kasih setakat Disember tahun lepas.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, situasi berkenaan agak membimbangkan kerana sebelum ini Melaka merupakan negeri berstatus sifar miskin tegar sama ada miskin tegar bandar atau miskin tegar luar bandar.
Beliau berkata, peningkatan jumlah KIR berstatus miskin tegar itu ekoran Melaka kini perlu mengguna pakai kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019 iaitu jumlah pendapatan isi rumah pada kadar RM1,289 sebulan dan pendapatan per kapita RM337 sebulan.
"Situasi ini berlaku ekoran peningkatan Pendapatan Garis Kemiskinan Nasional (PGKN) bagi KIR baru-baru ini sekali gus memberi impak besar kepada Melaka.
"Justeru pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan akan diwujudkan untuk membantu meningkatkan ekonomi KIR di negeri ini sekali gus keluar daripada status miskin tegar," katanya kepada pemberita selepas Program 'I Care For You' Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di sini hari ini.
Beliau berkata selain itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Pejabat Pembangunan negeri juga sedang merangka pelbagai inisiatif baharu berbentuk program jangka masa pendek dan panjang bagi mentransformasi pendekatan membasmi kemiskinan di negeri itu pada masa hadapan.
Katanya menerusi usaha itu, pihaknya berharap Melaka dapat kembali mencapai sifar miskin tegar menjelang 2025.
Terdahulu, Sulaiman berkata Program 'I Care For You' akan diperluaskan ke 28 DUN di negeri ini bagi membantu golongan miskin, miskin tegar, orang kurang upaya, pesakit kronik dan mangsa bencana di negeri itu meliputi bantuan wang tunai dan peralatan serta barangan kesihatan.
Beliau berkata pada program berkenaan, sebanyak 40 KIR yang berstatus miskin dan miskin tegar di DUN Lendu menerima sumbangan wang tunai RM500 setiap seorang.
-- BERNAMA
#Ketua Isi Rumah #miskin tegar #Melaka #Sulaiman Md Ali
;