3,336 tan matrik Harumanis bernilai RM66.7 juta dikeluarkan tahun ini

Bernama
April 11, 2021 16:07 MYT
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee melihat pemprosesan Mangga Harumanis di Ladang Kelompok Mangga Harumanis Kampung Tanah Pasir, Jalan Kaki Bukit dekat Beseri hari ini. - Bernama
PADANG BESAR: Sebanyak 3,336 tan matrik mangga Harumanis Perlis dijangka dihasilkan sepanjang tahun ini, dengan nilai pengeluaran RM66.7 juta, dan ia bakal memberi manfaat kepada 2,415 pengusaha Harumanis di seluruh negeri Perlis.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata sehubungan itu promosi 'Harumanis Kembali Lagi' sehingga 30 Jun dilancarkan hari ini, yang akan melibatkan pembabitan semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta.
Katanya industri tanaman mangga Harumanis ini bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan pengusaha, malah ia juga memberi impak ekonomi yang signifikan terhadap industri agropelancongan dan industri hiliran negeri Perlis.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan promosi 'Harumanis Kembali Lagi' anjuran Jabatan Pertanian Malaysia di Kompleks Pertanian Bukit Temiang, Beseri dekat sini.
Turut hadir di majlis hari ini ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Datuk Haslina Abdul Hamid dan Exco Pertanian Perlis Nurulhisham Yaakob.
Ronald berkata pihak Jabatan Pertanian Malaysia telah menjalin hubungan strategik dengan beberapa syarikat penghantaran seperti Pos Malaysia, Citylink dan Line Clear dengan mengambil kira pengalaman kaedah penghantaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas.
"Saya tidak mahu apa-apa (masalah) yang berlaku pada tahun lepas berulang lagi, apabila ketika itu kita tidak bersedia untuk penjualan secara dalam talian," katanya.
Ronald berkata antara penambahbaikan yang dilakukan dalam penghantaran buah adalah penggunaan kotak tiga lapis yang lebih kukuh, lori khas digunakan untuk mengangkut Harumanis, dan pewujudan pusat pengumpulan Harumanis.
Katanya selain itu syarikat penghantar juga memberi jaminan bahawa penghantaran Harumanis akan sampai kepada pembeli tidak melebihi tempoh tiga hari selepas pesanan diterima.
-- BERNAMA
#Harumanis #harumanis perlis #Menteri Pertanian #Ronald Kiandee #harumanis kembali lagi #kerajaan #swasta #ekonomi #agropelancongan #industri hiliran
;