3,149 titik akses wi-fi siap dipasang di tiga universiti awam bagi fasa pertama - Fahmi

Bernama
Februari 8, 2025 23:30 MYT
Fahmi (tujuh, kiri) bergambar bersama para penerima komputer riba selepas meninjau pemasangan wi-fi di KK7 di UM hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,149 titik akses wi-fi siap dipasang di tiga universiti awam menerusi fasa pertama dalam usaha meningkatkan capaian internet di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 1,837 titik akses wi-fi dipasang di empat fakulti dan satu kolej kediaman di Universiti Malaya, manakala bakinya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).
"Jumlah kos yang telah diperuntukkan ialah RM11.6 juta dan semua titik akses di kesemua universiti yang terlibat dalam fasa pertama ini telah disiapkan pada 5 Feb seperti yang disasarkan.
"Jadi secara keseluruhan, ia memakan masa lebih kurang tiga minggu untuk kerja-kerja ini disiapkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau pemasangan titik akses wi-fi di Universiti Malaya, di sini hari ini.
Fahmi berkata bagi fasa kedua, 31,173 titik akses wi-fi akan dipasang bermula Mac di 14 IPTA, 24 politeknik dan 43 kolej komuniti di seluruh negara serta dijangka siap dalam tempoh empat bulan, melibatkan kos RM175.8 juta.
Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan susulan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar liputan Internet di kampus, kolej dan universiti ditambah baik, termasuk usaha pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk segera menyelesaikan isu capaian Internet di institusi berkenaan.
"Sebelum ini Kementerian Komunikasi dan juga MCMC telah mengusahakan beberapa pakej seperti pakej Rahmah Siswa, yang menyediakan 30 GB data untuk enam bulan yang merupakan 50 peratus lebih murah untuk mahasiswa, tapi maklum balas yang kami terima daripada pelajar ialah mereka mengharapkan wi-fi kampus itu (kerana) jaringannya lebih meluas.
"Insya-Allah dengan siapnya jumlah hampir 35,000 titik akses menjelang bulan Julai nanti, saya harap ini akan dapat menyelesaikan secara menyeluruh masalah internet di semua universiti awam," katanya.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut menyampaikan sumbangan 50 komputer riba kepada mahasiswa UM, terutama yang terjejas akibat banjir pada hujung tahun lepas.
-- BERNAMA
#MCMC #Wi-Fi #Komputer Riba #universiti awam
;