3,000 usahawan terima manfaat kelulusan permohonan pekerja asing tiga sektor
Bernama
September 5, 2023 05:40 MYT
September 5, 2023 05:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kira-kira 3,000 usahawan dalam negara dijangka menerima manfaat, susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan sebahagian permohonan pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor, melibatkan kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas yang sebelum ini dibekukan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasamy berkata, usahawan sektor tersebut, amat memerlukan tenaga kerja terutama dari India, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Deepavali November depan.
"Ini menjadi satu berita baik sebelum Deepavali, sebab mereka ini dapat meraih perniagaan paling tinggi pada musim ini," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pemain industri tiga sektor berkenaan di Menara Bank Rakyat di sini pada Selasa.
Pada Isnin, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan meluluskan sebahagian permohonan pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor itu namun, beliau meletakkan syarat agar golongan belia tempatan diberikan latihan bagi mengisi keperluan tenaga kerja, melibatkan tiga sektor berkenaan.
Anwar berkata perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini, kerana ia melibatkan keperluan segera.
Dalam pada itu, Saraswathy berkata dalam pertemuan dengan pemain industri tiga sektor tersebut, beliau menekankan supaya mereka memberikan latihan kemahiran dan bimbingan kepada belia tempatan, yang ingin menceburi bidang berkenaan supaya tidak terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing.
"Saya juga menasihatkan kepada mereka untuk tidak memberi ruang kepada sesiapa yang ingin mengambil kesempatan, atau memberi lesen perniagaan kepada warga asing menguruskan perniagaan di sini," katanya.
-- BERNAMA