3,000 pendaftar pertama PADU bakal terima kad NFC, diskaun Mydin - Rafizi
Ridauddin Daud
Disember 29, 2023 18:40 MYT
Disember 29, 2023 18:40 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengumumkan 3,000 pendaftar pertama dalam Pangkalan Data Utama (PADU) berpeluang menerima kad NFC Touch 'n Go secara percuma.
Selain itu, mereka juga bakal mendapat diskaun daripada pasar raya terkemuka, Mydin namun jumlah diskaunnya masih belum dikongsikan.
Menurut Rafizi, tawaran-tawaran itu adalah sebahagian daripada usaha untuk merancakkan pendaftaran dan kemas kini maklumat dalam sistem yang akan dilancarkan pada 2 Januari 2024 itu.
“Bagi mereka yang kemas kini dan daftar pada pada 2 Januari 2024…ini akan menyebabkan orang akan masuk ramai…untuk 3,000 pendaftar pertama di dalam PADU, akan mendapat kad NFC daripada Touch ‘n Go secara percuma.
“Padu juga bekerjasama dengan Mydin, dan bagi mereka yang dah berdaftar, mereka layak untuk mendapat diskaun di Mydin.
“Kita galakkan seberapa banyak pengusaha lain, untuk turut serta seperti mana dilakukan Touch ‘n Go dan Mydin, untuk mereka cipta sendiri diskaun untuk naikkan fokus dan keterujaan PA, tanpa ada satu sen pun duit kerajan dikeluarkan,” katanya.
Bahkan, beliau turut menjangkakan lebih banyak tawaran akan tersedia buat rakyat Malaysia yang kemas kini dan mendaftar dalam Padu pada awal tahun depan.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai PADU di Putrajaya pada Jumaat.
Dalam pada itu, Rafizi berkata kos untuk membangunkan sistem PADU hanya menelan belanja beberapa juta ringgit.
Menurutnya, ia lebih rendah jika dibandingkan dengan proses biasa dengan membuka tender dan kemudian membayar pula kepada vendor.
“Kos itu, dia ada dua bahagian. Satu, tenaga kerja, itu percuma sebab ia dibina oleh penjawat awam. Cuma mereka perlu bekerja lebih dalam tujuh bulan, selain daripada kerja mereka.
“Tapi kos lain adalah bandwidth (jalur lebar), server dan sebagainya. Saya rasa itu kosnya dalam beberapa juta ringgit.
“Apa kami buat, kalau kebiasaan kita nak buat sesuatu, kita buka tender dan vendor masuk, kita perlu bayar.
“Apa yang kita buat sekarang ialah, kita lihat bajet yang sedia ada, yang telah diluluskan oleh kerajaan untuk tahun 2023, dan sedikit untuk tahun 2024 dan kita ambil dari situ,” ujarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan melancarkan PADU pada 2 Januari 2024.
PADU menggabungkan data dari pelbagai agensi kerajaan untuk membina maklumat lengkap setiap isi rumah.
Isi rumah iaitu ibubapa, anak, pendapatan setiap isi rumah, tempat tinggal, jumlah tanggungan, jumlah anak bersekolah, kenderaan, harta, setiap bantuan diterima dan bantuan kerajaan yang layak diterima.