3,000 koperasi disasar sertai Hari Koperasi Negara tahun ini

Bernama
Julai 23, 2017 09:26 MYT
Hamzah menyampaikan replika cek bernilai RM5,000 kepada Tokoh Koperasi Terbaik Zol Kepli Samuri (dua, kiri) sempena Perasmian Hari Koperasi Negara 2017 dan Sambutan Hari Koperasi Peringkat Perak, pada Sabtu. - Bernama
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyasarkan sebanyak 3,000 koperasi menyertai sambutan Hari Koperasi Negara di seluruh negara tahun ini berbanding 2,000 koperasi tahun lalu.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata penyertaan pada sambutan yang diadakan di negeri masing-masing memberi peluang kepada khususnya kepada koperasi kampung untuk mengetengahkan produk mereka ke pasaran.
"Koperasi besar yang datang untuk mempamerkan produk dan pada masa yang sama boleh mengadakan kerjasama dalam penyesuaian perniagaan dengan orang kampung supaya komoniti kecil mendapat keuntungan bagi menambahkan pendapatan.
"Usaha ini juga akan membantu koperasi menambah produk baharu dan idea baharu kepada masyarakat setempat untuk mengembangkan produk mereka ke pasaran yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Koperasi Negara (HKN) 2017 dan Sambutan Hari Koperasi peringkat Negeri di sini, Sabtu.
HKN 2017 diadakan bertujuan memberi pengiktirafan kepada gerakan koperasi terhadap sumbangan dan peranan dalam pembangunan ekonomi negara.
Bertemakan 'Transformasi Koperasi Ke Arah Kesejahteraan', HKN memberi penekanan terhadap peranan koperasi sebagai agen pembangunan ekonomi dan sosial yang boleh menjamin kesejahteraan rakyat.
Hamzah yang juga Anggota Parlimen Larut berkata terdapat 13,000 buah koperasi di negara ini.
Sementara itu, Hamzah berkata pihaknya akan menjemput belia-belia untuk berbincang bagi membolehkan mereka menyertai koperasi dalam menyahut seruan kerajaan ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Pada majlis itu, Pengerusi Koperasi Peserta Felcra Seberang Perak Bhd, Zol Kepli Samuri 67, dinobatkan sebagai Tokoh Koperasi Peringkat negeri sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000, sijil dan plak.
-- BERNAMA
#ekonomi #Hamzah Zainuddin #Hari Koperasi Negara #koperasi #produk #rakyat
;