3,000 jemaah tunai solat sunat Aidilfitri di Masjid Zahir
Abd Hadi Che Awang
Mei 2, 2022 12:38 MYT
Mei 2, 2022 12:38 MYT
ALOR SETAR: Sekitar 3,000 jemaah memenuhi segenap ruang di Masjid Zahir di sini, yang merupakan Masjid Negeri Kedah pagi ini bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Masjid Zahir menjadi tumpuan susulan kelonggaran yang diberikan kerajaan khususnya melibatkan prosedur operasi standard (SOP) di masjid-masjid selain kebenaran rentas negeri untuk pulang beraya di kampung halaman masing-masing.
Menurut Timbalan Imam Besar Masjid Negeri Kedah, Sheikh Khairul Firdaus Abu Bakar, jumlah berkenaan meningkat pada Syawal kali ini berbanding dua tahun sebelum ini yang hanya sekitar 50 orang sahaja berikutan negara dilanda penularan COVID-19.
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bersama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff turut berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kerabat diraja.
Keberangkatan baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Solat sunat yang bermula pada pukul 9 pagi diimamkan oleh Imam Besar Masjid Zahir, Datuk Sheikh Roslan Abd Halim yang turut membacakan khutbah hari raya.