2TM bukan sekadar platform melaporkan kejayaan kerajaan - PACU

Astro Awani
November 21, 2024 19:18 MYT
Sapian berkata, 2TM bertujuan membentangkan inisiatif kepada rakyat serta menterjemahkannya kepada impak positif bagi masa depan negara. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Program 2 Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang bakal dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 hingga 24 November ini bukan sekadar platform untuk melaporkan kejayaan terdahulu.
Sebaliknya, Ketua Komunikasi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Sapian Mamat berkata, ia bertujuan membentangkan inisiatif kepada rakyat serta menterjemahkannya kepada impak positif bagi masa depan negara.
"Berbeza dengan penganjuran tahun sebelumnya, konvensyen kali ini menampilkan pendekatan unik dengan melibatkan orang awam dan pakar dari pelbagai lapangan.
"Keterbukaan ini membolehkan pandangan daripada pelbagai pihak dikumpulkan untuk penambahbaikan pelaksanaan dasar pada masa akan datang," katanya semasa program Agenda Reformasi di sini, pada Khamis.
Menurut Sapian lagi, objektif utama konvensyen itu adalah memastikan proses komunikasi tidak bersifat sehala.
"Sebaliknya, ia menekankan kerjasama dua hala antara kerajaan, pakar dan rakyat.
"Kami tidak mahu sekadar menyampaikan laporan atau pencapaian. Apa yang lebih penting adalah maklum balas daripada orang awam yang kami kumpulkan dan gunakan untuk memperbaiki perancangan tahun depan," ujarnya.
Langkah itu kata Sapian mencerminkan komitmen kerajaan terhadap keterbukaan dan keunikan dalam membawa suara rakyat serta kepakaran profesional ke meja perbincangan.
Menurutnya, usaha itu juga menekankan pentingnya kolaborasi untuk memacu pembangunan yang lebih inklusif dan berkesan.
"Melalui pengumpulan data dan input yang menyeluruh, konvensyen ini dijangka mampu merumuskan langkah-langkah strategik untuk memperkukuhkan perancangan dan pelaksanaan program kerajaan pada masa hadapan," jelasnya.
#perkhidmatan awam #Kerajaan Madani #langkah strategik #impak positif
;