#2kerja: Ahmad Maslan mengaku ada tiga kerja, netizen sekolahkan makna kerja dan jawatan
Madiha Abdullah
Disember 28, 2015 17:41 MYT
Disember 28, 2015 17:41 MYT
Nama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, kembali mendapat perhatian. Semuanya gara-gara tweet tentang tiga jenis kerja yang dilakukan.
Dalam tweet yang dimuat naik semalam itu, beliau menerangkan tiga pekerjaan yang dilakukannya, iaitu Ahli Parlimen Pontian, Timbalan Menteri dan Ketua Penerangan UMNO.
Ia menerima kritikan netizen yang menyifatkan pembahagian kerja seperti yang dijelaskan itu tidak menggambarkan maksud sebenar tiga kerja.
Kata mereka, kesemua yang disebut Ahmad Maslan itu adalah jawatan yang dipegang dan ia masih dalam kategori pekerjaan yang sama, iaitu ahli politik.
Tweet itu ditulis beliau sebagai menjawab isu #2kerja yang kini hangat dibahaskan masyarakat.
Beliau sebelum itu menjelaskan sokongan yang dinyatakannya terhadap isu #2kerja adalah merujuk kepada pekerjaan yang dilakukan secara atas talian, seperti berniaga.
Dalam masa yang sama, beliau juga menyarankan mereka yang mempunyai pekerjaan tetap untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan organisasi masing-masing, jika ingin melakukan kerja kedua.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, meluahkan kebimbangan akan penurunan produktiviti kerja jika kakitangan kerajaan melakukan dua kerja.