295 mangsa terperangkap banjir diselamatkan bomba

Sinar Harian
Januari 1, 2022 10:05 MYT
Pasukan Bomba dan Penyelamat Seri Menanti menyelamatkan sebuah keluarga yang terperangkap banjir di sebuah inap desa. -Foto ihsan JBPM Negeri Sembilan
SEREMBAN: Seramai 295 individu yang terperangkap dalam banjir di beberapa daerah di Negeri Sembilan diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
JBPM Negeri Sembilan dalam kenyataan pada Sabtu berkata, sembilan kawasan yang terlibat banjir iaitu Felda Jelai 4 di Gemas; Kampung Tengah, Kampung Geduk, Kampung Tenai dan Kampung Baru Geduk di Gemencheh; Felda Palong 1, Jempol, Kampung Kuala Johol, Kuala Pilah serta Kampung Tanah Datar Hilir dan Teha Homestay di Seri Menanti.
"Operasi pemantauan dilakukan di lokasi kejadian dari semasa ke semasa," kata kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, ketika ini terdapat empat daerah yang terlibat dengan bencana Monsun Timur Laut iaitu Kuala Pilah, Jempol, Jelebu dan Tampin.
"Seramai 138 individu daripada 41 keluarga yang berada di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini di negeri ini," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#banjir #JBPM Negeri Sembilan #PPS #Mohd Syukri Madnor
;