290,000 pencari kerja di JobsMalaysia - Mahfuz

Wan Syamsul Amly
November 25, 2019 12:29 MYT
Seramai 290,898 orang pendaftar aktif pencari kerja dicatat sehingga Oktober lalu di portal popular pasaran kerja, JobsMalaysia, kata Mahfuz Omar. - Gambar fail
Seramai 290,898 orang pendaftar aktif pencari kerja dicatat sehingga Oktober lalu di portal popular pasaran kerja, JobsMalaysia.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 210,868 orang merupakan lulusan universiti.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, sekalipun majoriti golongan itu terdiri daripada siswazah, namun, itu tidak bermakna mereka menganggur.
Sebaliknya, kata beliau, golongan itu termasuk sebagai pertama kali mendaftar mencari kerja.
“Mereka ini tidak bermakna siswazah menganggur tetapi termasuk pertama kali berdaftar mencari kerja dan mereka belum ada kerja dan termasuk mereka yang hendak beralih pekerjaan dan meningkatkan pekerjaan dan sebagainya untuk mendapatkan khidmat melalui JobsMalaysia,” katanya.
Mahfuz berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PH - Tanah Merah) yang meminta Kementerian Sumber Manusia untuk menyatakan jumlah siswazah yang masih mengganggur sejak dua tahun lalu dan apakah puncanya.
Padanan kerja melalui penggunaan data geospatial di JobsMalaysia akan memudahkan pencari kerja yang mahu mendapatkan pekerjaan di kawasan tempat tinggalnya atau kawasan tertentu.
Padanan kerja akan dilakukan sepenuhnya melalui teknologi mesin berdasarkan kata kunci yang terdapat pada resume yang dihantar pemohon.
Dalam pada itu, Mahfuz menjelaskan, pendaftaran di laman itu merupakan proses biasa dalam enam bulan selepas sebahagian besar siswazah itu menamatkan pengajian.
Tambahnya, kebanyakan mereka juga didapati mendapat pekerjaan dalam tempoh masa berkenaan.
Portal itu juga menyediakan lebih 160,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dengan carian kerja yang ditambah baik dengan ciri pemadanan automatik dan syor peluang pekerjaan yang dimaklumkan terus kepada calon.
Portal itu boleh menampung sehingga 19 juta pengguna berdaftar dan mampu mengendalikan 40,000 capaian serentak pada satu-satu masa.
Portal yang dibangunkan MIMOS Berhad dengan kos RM24.5 juta itu turut dilengkapi dengan ciri ujian minat kerjaya berasaskan psikometrik sebagai panduan kepada pemohon dalam menentukan kerjaya.
#JobsMalaysia #Mahfuz Omar #pencari kerja #siswazah #Timbalan Menteri Sumber Manusia
;