29 rumah musnah kebakaran, 200 orang hilang tempat tinggal

Radhi Muslim
Oktober 11, 2019 11:42 MYT
Api berjaya dikawal pada jam 10.35 malam dan tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden tersebut. - Foto ihsan JBPM
Seramai 200 penghuni rumah sewa dan rumah pekerja hilang tempat tinggal selepas 29 rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Silam, Kampung Teck Guan, dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.25 malam itu, kebakaran menyebabkan semua mangsa daripada 43 keluarga, iaitu pekerja dua syarikat di lokasi berkenaan, tinggal sehelai sepinggang.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor, berkata empat buah keluarga merupakan warga tempatan dan selebihnya belum dikenal pasti.
“Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara dibuka iaitu di Masjid Nurul Ibadah Kampung Teck Guan, Kilang Lahad Datu Tyre dan Gereja St Dominic Lahad Datu.
“Dalam pada itu, terdapat mangsa yang tinggal bersama keluarga,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.
Menurutnya, punca kejadian sebenar masih dalam siasatan dan kebakaran tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.
Sementara itu, Bernama memetik Ketua Operasi Kebakaran dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Abu Bakar Taraji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.27 malam.
"Sebanyak empat jentera bomba dan dua kenderaan utiliti serta 31 anggota bomba digerakkan ke lokasi, termasuk pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kunak bagi operasi pemadaman api," katanya.
Menurutnya, api berjaya dikawal pada 10.35 malam dan tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden tersebut.
#Abu Bakar Taraji #Kampung Teck Guan #kebakaran #Lahad Datu #mangsa #Nasri Mansor #polis #pusat pemindahan #rumah #siasatan
;