29 Mei diumum sebagai tarikh Hari Wartawan Nasional
Irwan Muhammad Zain
April 11, 2018 20:45 MYT
April 11, 2018 20:45 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Hari Wartawan Nasional (Hawana) akan disambut pada 29 Mei setiap tahun.
Tarikh 29 Mei dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.
“Sebagai mengiktiraf peranan para wartawan dalam mencorak dan membentuk minda masyarakat, maka kerajaan telah menerima cadangan proklamasi supaya Hari Wartawan Nasional atau ringkasnya Hawana, disambut pada 29 Mei di setiap tahun,” katanya ketika berucap melancarkan Hari Wartawan Nasional di sini.
Perdana Menteri juga berkata, kerajaan sentiasa memberi ruang kepada kebebasan bersuara dan sudahpun melaksanakan kebebasan media melalui pelbagai langkah transformasi.
Katanya, pendekatan kerajaan hari ini tentang kebebasan bersuara berbeza berbanding ketika era pemerintahan pemimpin yang pernah memerintah negara selama 22 tahun.
“Pemimpin yang ‘pernah memerintah 22 tahun itu’ juga turut dikecam oleh Committee to Protect Journalist atau Jawatankuasa Melindung Wartawan di peringkat dunia sebagai salah seorang daripada 10 enemies of the press, pada 3 tahun berturut iaitu di tahun 1999, 2000 dan 2001,” katanya lagi.
Dalam pada itu Najib berkata kerajaan turut menyambut baik Deklarasi Hawana untuk memerangi berita tidak benar dalam mengekang dan membendung isu penyebaran maklumat palsu.
Beliau berkata ini berikutan konsep "siapa sahaja boleh menjadi wartawan" telah menjadi satu trend akibat ledakan kemajuan teknologi maklumat dan internet.
"Perkara ini telah menjadi kebimbangan kepada masyarakat kerana wartawan warga ini (netizen) sebenarnya merupakan mereka yang menjalankan tugasan kewartawanan tanpa latihan asas.
"Mereka sering pula menjadi penulis maya dan menulis sesuatu hanya berdasarkan persepsi serta pemahaman sendiri tanpa merujuk atau mendapat pengesahan terlebih dahulu tentang sesuatu berita atau isu." katanya lagi.
Kira-kira seribu pengamal media dari seluruh tanah air serta beberapa anggota ASEAN berhimpun pada sambutan julung kali Hawana 2018.
Bertemakan 'Membela Bangsa, Membina Negara', penganjuran Hawana bertujuan mendapatkan pengiktirafan negara dan penghargaan atas sumbangan pengamal media dalam membantu membangunkan negara dan mengukuhkan perpaduan masyarakat.
Di majlis itu juga bekas Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman dinobatkan sebagai Tokoh Hawana 2017/18.
#hari wartawan negara
#Hawana
#kebebasan bersuara
#kerajaan
#kerjaya
#Najib Razak
#profesion
#transformasi
#wartawan