29 Mac tarikh mengundi PRK DUN Balingian, 17 Mac penamaan calon

Astro Awani
Mac 6, 2014 12:15 MYT
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, hari ini mengumumkan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, Sarawak, akan diadakan pada 29 Mac dan penamaan calon ditetapkan pada 17 Mac.
Abdul Aziz juga mengumumkan SPR akan melantik pemerhati-pemerhati bebas tempatan terutama dari Sarawak bagi memantau perjalanan pilihan raya kecil DUN Balingian
Katanya, pemerhati bebas tersebut dibenarkan memasuki kawasan larangan untuk memantau perjalanan pilihan raya kecil tersebut ketika proses pengundian awal dan pengundian biasa.
"Kepada pihak yang mengaku mereka pemerhati atau apa-apa lah pemantau ke pemerhati ke sama saje, kalau tidak dilantik SPR, mereka tidak dibenar memasuki kawasan yang dilarang," katanya pada sidang media khas yang diadakan di ibu pejabat SPR.
Kerusi N.51 kosong selepas penyandangnya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak meletak jawatan pada 28 Februari lalu.
#PRK Balingian #Sarawak
;