29 lokasi panas di Kedah diberi tumpuan
Adie Sufian Zulkefli
Jun 11, 2018 07:05 MYT
Jun 11, 2018 07:05 MYT
Sebanyak 29 lokasi panas yang dikenal pasti akan diberi tumpuan utama Polis Kontinjen Kedah bagi mengurangkan jumlah kemalangan di negeri itu.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah, SAC Dr Zainal Abidin Sabtu memaklumkan beberapa lokasi utama telah dikenal pasti membabitkan Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Bandaran dan Lebuh Raya Utara Selatan sepanjang ‘Op Selamat 13’ sempena Hari Raya Aidilfitri.
Jelas beliau bagi memastikan kelancaran lalu lintas seramai 1,539 anggota membabitkan 199 pegawai dan 1,340 lain-lain pangkat akan bertugas sepanjang 15 hari pelaksanaan Op Selamat yang bermula 8 Jun lalu dan berakhir pada 22 Jun nanti.
"Bagi mencapai objektif tersebut anggota-anggota balai dan khidmat kereta peronda MPV, unit rondaan bermotosikal dan lain-lain akan melaksanakan rondaan yang lebih kerap ke atas rumah dan premis yang ditinggalkan.
"Saya juga telah mengarahkan agar rondaan serta risikan dan operasi diatur gerak dengan lebih holistik dan sistematik," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Melancarkan Op Selamat 13 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2018 peringkat negeri Kedah di perkarangan Pekan Rabu, Alor Setar.
Dr Zainal berkata, antara lokasi panas ialah KM8 Jalan Alor Setar-Kangar, Jalan Ayer Hangat, Jalan Kobah-Titi Haji Idris, Jalan Sungai Petani-Alor Setar dan Jalan Batas Paip.
KM109.4 Lebuhraya Utara Selatan dan KM83.3 Lebuhraya Utara Selatan dikenal pasti sebagai kawasan hitam.
Manakala, KM46.5 Lebuhraya Utara Selatan adalah lokasi hitam di Kota Setar, KM20 Lebuhraya Utara Selatan (Kubang Pasu), KM 63.1 Lebuhraya Utara Selatan (Pendang) dan KM171.3 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara (Bandar Baharu).
Sepanjang Operasi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dibantu 2,262 pasukan sahabat yang terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPHJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan PLUS Malaysia Berhad.
#Aidilfitri
#Alor Setar
#hari raya
#jenayah
#Kedah
#kemalangan
#keselamatan
#Kubang Pasu
#operasi
#PDRM
#PLUS
#polis
#Polis Diraja Malaysia