29 ditahan terbabit sindiket penipuan pelaburan di empat negeri

Astro Awani
Februari 25, 2023 10:13 MYT
Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 24 hingga 48 tahun itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Johor.
KUALA LUMPUR: Polis menahan 29 individu termasuk 10 wanita warga tempatan disyaki terlibat dalam satu sindiket penipuan pelaburan di beberapa negeri, pada Selasa lepas.
Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 24 hingga 48 tahun itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Johor.
"Hasil siasatan mendapati sindiket itu merupakan dalang di sebalik beberapa skim pelaburan palsu yang baharu ditubuhkan dengan menawarkan pelaburan pada kadar pulangan tinggi.
"Tawaran pelaburan dibuat melalui pelbagai medium di laman media sosial dan skim-skim itu dikenali sebagai 'Alpha Mineral Global, Asia Investment VIP (AIV Trading), Max Profit Guides Empire (Max Profit) dan CGC Revolution and Management (CGC).
"Kesemua suspek ditahan telah mendapat perintah tahanan reman antara satu hingga empat hari," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Noorsiah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"PDRM menjangkakan jumlah mangsa yang terlibat adalah kecil memandangkan skim pelaburan ini masih baharu, namun mana-mana individu yang mungkin telah menjadi mangsa diminta untuk tampil membuat laporan," ujarnya.
Noorsiah turut mengingatkan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melakukan semakan sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan lumayan.
"Dapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti 'Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat keputusan menyertai skim pelaburan meragukan," jelasnya.
#sindiket penipuan pelaburan #Alpha Mineral Global #AIV Trading #Max Profit
;