29 ditahan sedang khayal ketika sambut hari lahir
Bernama
Januari 11, 2015 20:22 MYT
Januari 11, 2015 20:22 MYT
Sebanyak 29 individu termasuk dua anggota polis bantuan sebuah bank tempatan ditahan ketika sedang khayal disyaki akibat penggunaan dadah di bilik sebuah hotel di Jalan Batu Tiga Lama, Klang hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata serbuan kira-kira 3 pagi itu menyaksikan penahanan 10 wanita dan 19 lelaki.
"Hasil pemeriksaan di bilik itu, polis menjumpai pelbagai jenis dadah antaranya 15 pil ecstasy, sebiji pil erimin 5, bekas air lima liter yang disyaki berisi air ketum dan satu peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki ketamin," katanya dalam kenyataan di sini.
Kesemua yang ditahan berumur antara 20 dan 37 tahun dan bekerja antaranya sebagai juruteknik, pemandu, pekerja bank selain polis bantuan.
Mohd Shukor berkata siasatan awal mendapati kumpulan itu sedang meraikan hari lahir seorang daripada mereka ketika serbuan dilakukan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.