289 kes pemerdagangan manusia dari 2022-2024

Hasimi Muhamad
Mac 12, 2024 13:55 MYT
Shamsul Anuar berkata sebanyak 526 tangkapan dilakukan, dengan 992 mangsa diselamatkan dalam 2022 hingga 2024 - Foto/JaPen
KUALA LUMPUR: Sebanyak 289 kes pemerdagangan manusia direkodkan di negara ini dalam tempoh 2022 hingga setakat tahun ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata sebanyak 526 tangkapan dilakukan, dengan 992 mangsa diselamatkan dalam tempoh sama.
"Untuk tahun 2024 (setakat ini), sebanyak 38 kes pemerdagangan orang dan melibatkan 59 tangkapan. Sebanyak 141 orang diselamatkan," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan statistik kes pemerdagangan manusia di negara ini dan usaha-usaha yang diambil bagi menangani jenayah berkenaan.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar (BN-Lenggong) berkata Malaysia komited menangani kes pemerdagangan manusia termasuk melalui Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran yang diketuai KDN dan dianggotai 22 kementerian, agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Selain itu, jelas beliau Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) turut diperkasakan melalui pindaan pada 2022 yang memberi tumpuan kepada beberapa penambahbaikan.
"Ini termasuk mengenai definsi pemerdagangan orang yang bertujuan untuk menambah baik pengenalpastian mangsa, serta meningkatkan jumlah pendakwaan dan sabitan melibatkan kes pemerdagangan orang.
"Pindaan tersebut juga memberi tumpuan kepada aspek pencegahan dengan memberikan hukuman lebih berat kepada pesalah jenayah," ujarnya lagi.
Menjawab soalan tambahan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai langkah mengatasi isu rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan kerja pula, Shamsul Anuar berkata Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan negara-negara jiran melalui platform ASEAN.
Ujarnya, Malaysia telah membawa isu jenayah penipuan pekerjaan ke peringkat ASEAN termasuk pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan dan Mesyuarat di Peringkat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan sejak 2022.
"Untuk makluman isu ini menjadi agenda tetap bagi kedua-dua mesyuarat ini dan tentunya pertukaran maklumat, kerjasama, data dan sebagainya akan dapat dilakukan," katanya.
#pemerdagangan manusia #sindiket penipuan pekerjaan #Kementerian Dalam Negeri #Shamsul Anuar Nasarah
;