286 kes daftar lewat kelahiran tahun lepas - JPN Terengganu

Bernama
Ogos 31, 2023 05:00 MYT
Pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memastikan setiap kelahiran bayi di Terengganu didaftarkan, antaranya program Mekar yang menyaksikan JPN turun padang menemui penduduk untuk mendaftarkan kelahiran. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Terengganu merekodkan sebanyak 286 permohonan pendaftaran lewat sijil kelahiran, sepanjang 2022.
Pengarahnya Mohamad Nasir Kareem berkata dari Januari hingga Ogos tahun ini pula sebanyak 235 kes kelewatan pendaftaran kelahiran dicatatkan.
"Ada beberapa bulan lagi untuk sampai ke 31 Disember 2023 dan kita menjangkakan kemungkinan peningkatan kepada kes-kes pendaftaran lewat kelahiran akan berlaku pada tahun ini berbanding tahun lepas.
"Kelewatan pendaftaran kelahiran atau pendaftaran yang lebih 60 hari dari tarikh bayi dilahirkan akan menyebabkan JPN terpaksa mengambil sedikit masa untuk membuat penentusahan dan terpaksa menemu duga ibu bapa," katanya kepada pemberita pada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) bersempena dengan Sambutan Bayi Merdeka di Pusat Rawatan Ibu dan Anak di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini semalam.
Mohamad Nasir berkata pihaknya mendapati lebih 80 peratus daripada jumlah kes kelewatan pendaftaran sijil kelahiran adalah disebabkan kecuaian ibu bapa atau penjaga.
Malah, katanya kebanyakan kes permohonan pendaftaran lewat sijil lahir adalah daripada kalangan penduduk berdekatan kawasan bandar yang tidak mempunyai masalah laluan pengangkutan.
"Pendaftaran kelahiran ini tidak perlu bawa bayi ke JPN. Bapa atau sesiapa yang tahu kelahiran boleh hadir (ke JPN) jadi tidak sepatutnya timbul isu kelewatan.
"Kebanyakan kes pula tinggal di Kuala Terengganu, Marang dan kawasan yang tidak mempunyai masalah laluan pengangkutan jadi sepatutnya tidak ada alasan lagi. Kita juga perlu bantuan masyarakat sekeliling untuk bantu daftarkan kelahiran bayi sekiranya ibu bapa mempunyai kekangan tertentu," katanya.
Mohamad Nasir berkata pihaknya juga sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan setiap kelahiran bayi di negeri ini didaftarkan antaranya melalui program Mekar yang menyaksikan JPN turun padang menemui penduduk untuk mendaftarkan kelahiran.
-- BERNAMA
#sijil kelahiran #lewat daftar kelahiran #JPN Terengganu #kecuaian ibu bapa
;