28 warga SK Sungai Tiram muntah, pening akibat pencemaran bau

Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 2, 2023 06:30 MYT
Pasukan HAZMAT telah membuat kerja-kerja 'detection' di dua lokasi berbeza menggunakan gasmet. - Foto JBPM
JOHOR BAHRU: Seramai 28 warga Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram, di Ulu Tiram yang terdiri daripada 24 pelajar, dua guru dan dua petugas kantin mengalami simptom pening dan muntah, dipercayai akibat pencemaran sisa kimia, petang Rabu.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd Salleh Kvp Mohamed, berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pencemaran bau kimia itu pada jam 3.13 petang sebelum 17 anggota dihantar ke tempat kejadian.
Katanya setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat beberapa mangsa mengalami pening dan muntah.
PKO bertindak membuat 'size up' bagi mencari punca bau pencemaran tersebut.
"Kesemua pelajar dan guru telah diarahkan untuk meninggalkan kawasan sekolah dengan segera. PKO bertindak membuat bacaan udara di lokasi kejadian secara berkala bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor.
"Pada jam lebih kurang 8 malam, pasukan HAZMAT telah membuat kerja-kerja 'detection' di dua lokasi berbeza menggunakan gasmet.
"Lokasi pertama di tapak kilang haram memproses minyak sawit terpakai dan lokasi kedua di Ladang Orkid. Hasil bacaan yang diterima di kedua lokasi adalah normal," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam..
Jelas Mohd Salleh, proses pengesanan diteruskan pada Rabu dengan pasukan HAZMAT membuat pengesanan dengan menggunakan lebih banyak peralatan termasuk sigis 2 (long range detector), gasmet, rad dan 4 gas meter di beberapa sektor yang ditetapkan.
Katanya selepas membuat penilaian di lokasi sektor lima iaitu di kawasan sebuah kilang dengan menggunakan gasmet GT5000, terdapat peningkatan bacaan 'methyl mercaptan'.
"Pasukan HAZMAT dan JAS mendapati berlaku aktiviti pembakaran tanki 'ibc' yang mengandungi bahan buangan dalam bentuk pepejal (sludge) dan cecair serta pelupusan bahan pepejal (sludge) dan sisa cecair ke di laluan tali air ke sungai berhampiran.
"Hasil dari penemuan itu operasi seterusnya diserahkan kepada JAS Johor untuk tindakan berkaitan," katanya.
#pencemaran kimia #muntah #pening #SK Sungai Tiram
;