28 SJK Tamil di Pulau Pinang terima sumbangan peralatan bola sepak
Astro Awani
Oktober 19, 2024 23:39 MYT
Oktober 19, 2024 23:39 MYT
KUALA LUMPUR: Agensi perhubungan awam, ShekhinahPR menerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang menghulurkan sumbangan 200 biji bola sepak dan peralatan bola sepak kepada 28 buah sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di sekitar Pulau Pinang, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Christopher Raj berkata, sumbangan bertujuan untuk pembangunan sukan bola sepak di peringkat sekolah dan akar umbi Pulau Pinang, selain dalam membantu menaikkan lagi minat serta impian anak-anak tempatan menceburi sukan bola sepak.
“Sebagai anak jati Pulau Pinang, saya berharap sumbangan bola sepak dan peralatan bola sepak ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan bakat-bakat muda di Pulau Pinang.
“Malah ShekhinahPR akan terus komited dalam membantu pembangunan sukan, khususnya bola sepak di Pulau Pinang.
"Kami akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkaitan dalam memastikan setiap bakat tempatan yang ada diberi peluang serta platform yang terbaik untuk berkembang dan diketengahkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Christopher turut berharap sumbangan itu mampu menyuntik semangat buat anak-anak muda dalam menggapai impian sebagai pemain negeri, seterusnya pemain kebangsaan yang melonjakkan nama negara ke persada lebih tinggi pada masa akan datang.
Sebelum itu, majlis disempurnakan oleh Naib Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, Senator Dr Lingeshwaran R Arunasala bersama Christopher.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji; Naib Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, Kumaran Krishnan dan Pengurus Besar Penang FC yang juga Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League, Jeffery Chew.