28 peratus tenaga kerja di Malaysia bekemahiran
Bernama
Jun 17, 2013 16:36 MYT
Jun 17, 2013 16:36 MYT
Hanya 28 peratus daripada sejumlah 12 juta tenaga kerja di Malaysia setakat ini merupakan golongan tenaga kerja berkemahiran tinggi, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Mutalib.
Oleh itu, katanya kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan pihak swasta akan dipergiat bagi mencapai sasaran 50 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2020.
"Pendaftaran untuk kursus vokasional akan digandakan dari semasa ke semasa sehingga mencapai 300,000 tempat berbanding hanya sekitar 130,000 pada masa kini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kemahiran 2013 kali kedua di sini hari ini.
Ismail berkata kerjasama strategik dengan pihak swasta juga penting dalam usaha pemindahan teknologi dan kepakaran dari luar untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di kalangan rakyat tempatan.
"Kita akan memperbanyakkan program forum di peringkat antarabangsa seperti hari ini dengan delegasi tempatan mempunyai peluang amat banyak untuk pertukaran idea dengan negara maju seperti Australia dan United Kingdom," katanya.
Di samping itu katanya usaha meningkatkan kesedaran di kalangan ibu bapa dan belia agar menjadikan bidang vokasional sebagai pilihan juga akan ditingkatkan.
Persidangan dua hari bertemakan 'Mentrasnfromasi Tenaga Kerja Mahir: Menyedari Peluang dan Cabaran' itu dianjurkan Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta (NAPEI) dengan kerjasama kerajaan negeri Victoria, Australia.