28 PATI termasuk seorang remaja dicekup dalam Ops Ikrar di Ipoh
Nazialita Geynna Maharan
Disember 9, 2015 00:34 MYT
Disember 9, 2015 00:34 MYT
Jabatan Imigresen Perak menahan 28 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dari pelbagai negara di lima lokasi sekitar Ipoh dan Batu Gajah dalam Ops Sepadu Pati.
Operasi bermula 11 malam sehingga awal pagi Selasa itu melibatkan 18 anggota dari Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Perak dan dijalankan di premis makanan serta rumah kediaman hasil risikan serta aduan daripada orang ramai.
Turut ditahan,seorang warga tempatan yang merupakan penyelia restoran bagi membantu siasatan lanjut.
Ketua Operasi Ops Ikrar,Suhairie a/l Bah Ali berkata mereka yang ditahan terdiri daripada empat warga Myanmar, tiga warga Thailand, tiga warga Indonesia,17 warga Nepal dan seorang lagi penyelia bagi membantu siasatan.
"15 tahun remaja perempuan yang berasal dari Thailand itu ditahan ketika sedang bekerja di restoran dan kesemua yang lain berada dalam lingkungan umur 20-40," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Hasil pemeriksaan awal mendapati 21 warga asing daripada 33 tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan empat warga asing ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Dua lagi warga asing ditahan kerana tinggal lebih daripada tempoh sepatutnya, kata Suhairie.
"Kebanyakan daripada mereka sebenarnya gagal untuk mengemukakan dokumen perjalanan sah kerana majikan mereka berada di KL dan sebagainya namun ini sebenarnya melanggar undang-undang dan akta termaktub dalam pengenalan pekerja asing.
"Kesemua mereka ditempatkan di lokap JIM buat masa ini sementara penyelia warga tempatan itu akan disoal siasat terlebih dahulu bagi membantu maklumat lanjut," katanya lagi.