28 individu dan dua pemilik premis futsal dikompaun kerana tidak patuh SOP - Polis

Fareez Azman
Februari 28, 2021 16:08 MYT
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe memaklumkan 28 individu serta dua pemilik premis futsal dikenakan kompaun pada malam Sabtu selepas didapati tidak mematuhi sop ditetapkan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: 28 individu sedang asyik bermain futsal di sebuah premis di Gombak dikompaun selepas didapati tidak mematuhi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung perkara itu kira-kira jam 8.30 malam.
"Pada 27 Februari 2021, kira-kira jam 8.30 malam, pihak polis terima aduan orang awam bahawa terdapat sekumpulan orang bermain futsal di premis dengan tiada pematuhan SOP PKP.
"Bertindak atas aduan itu, team Taskforce Pemantauan Pematuhan PKP IPD Gombak telah menjalankan pemeriksaan dapati 28 orang berumur antara 19-23 tahun gagal mematuhi SOP iaitu penjarakan fizikal dan akitiviti yang masih tidak dibenarkan dalam sektor sukan dan rekreasi," katanya.
Susulan itu, kesemua individu terbabit termasuk dua pemilik premis telah dikenakan kompaun atas kesalahan tidak mematuhi SOP ditetapkan.
Kejadian itu tular di laman sosial sejak pagi Ahad apabila rata-rata netizen mempersoal tindakan pihak berkuasa mengenakan kompaun terhadap individu bermain futsal.
Mengikut rekod, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan kebenaran aktiviti sukan bermula 12 Februari lalu.
Bagaimanapun, setiap aktiviti sukan hendaklah dilakukan tanpa sentuhan fizikal.
Manakala penggunaan fasiliti sukan dan rekreasi komersial melibatkan pusat kecergasan, gimnasium, dewan badminton dan futsal hendaklah secara penjadualan dan tempahan.
Penggunaan secara 'walk-in' tidak dibenarkan.
#ismail sabri yaakob #badminton #SOP #polis #sukan #menteri #operasi #laman sosial #PKP #futsal #kompaun #Gombak #PDRM #Ketua Polis Daerah Gombak #aduan #orang awam #COVID-19
;