27 tahun terpisah, wanita syukur dapat peluk ibu kandung
Sinar Harian
Jun 29, 2024 11:45 MYT
Jun 29, 2024 11:45 MYT
HULU LANGAT: Hampir tiga dekad terpisah dengan ibu kandung, seorang wanita tidak menyangka akhirnya dapat memeluk dan mencium ibu yang melahirkannya.
Meskipun jauh di sudut hati Nurhidayah Abdullah, 27, rasa terkilan kenapa ibu sendiri tergamak menyerahkannya kepada keluarga angkat, namun perasaan itu hilang serta-merta sebaik melihat kali pertama wajah wanita terbabit.
Video pertemuan Nurhidayah dengan ibunya kandungnya, P Murugamah, di rumah wanita itu di Beranang, Selangor, pada Sabtu lalu meruntun hati netizen selepas dikongsi rakan baiknya di TikTok.
Berkongsi cerita dengan Sinar Harian, Nurhidayah berkata, niatnya mencari wanita berkenaan kerana mahu mengetahui salasilah keluarga kandungnya.
"Lagi pun saya sudah dewasa dan saya nak tahu mak kandung saya masih hidup atau dah meninggal dunia. Jadi saya buat pencarian maklumat di Internet.
"Saya dapat satu alamat dan pada Sabtu lepas, saya ajak kawan teman untuk pergi ke alamat rumah ibu kandung dan saya tak sangka memang betul dia tinggal di situ," katanya.
Ujarnya, dia tidak dapat menahan sebak sebaik melihat ibu kandungnya di depan mata, lantas tanpa rasa kekok terus memeluk dan menciumnya.
Paling membuatkan hatinya sayu, kata Norhidayah, apabila wanita terbabit memberitahu tidak pernah lupa mendoakannya walaupun mereka tidak pernah bersua muka.
"Saya diserahkan kepada keluarga angkat beragama Islam ketika berusia dua hari melalui orang tengah dan saya bersyukur dijaga dengan baik oleh mereka.
"Ketika saya di tadika, umi dan ayah (ibu bapa angkat) beritahu status saya sebagai anak angkat, tapi mereka tak pernah ajar saya membenci mak kandung," katanya.
Malah ujarnya, ibu bapa angkatnya juga turut berkongsi gambar ibu kandungnya ketika dia menyerahkannya 27 tahun lalu.
"Saya memang sedih dan marah kerana mak kandung saya sanggup serahkan saya pada orang lain dan persoalan itu selalu bermain dalam fikirkan saya.
"Jadi sekarang saya sudah tahu hal sebenar dan memahami masalah dihadapi ibu saya ketika itu yang juga berdepan masalah kewangan," katanya.
Tambahnya, dia juga diberitahu yang ibu kandungnya sebelum ini pernah berusaha mencarinya ketika usianya 12 tahun, namun ia tidak kesampaian.
Sementara itu, kata Norhidayah, dia diberitahu mempunyai seorang adik lelaki yang kini berusia 24 tahun dan ibunya pula kurang sihat kerana mempunyai penyakit kencing manis.
"Saya akan pastikan hubungan kami berterusan kerana sampai bila-bila pun dia adalah wanita yang melahirkan saya.
"Ibu saya cakap walaupun kami sudah berbeza agama tetapi saya tetap anak kandungnya dan minta saya menjadi seorang Muslim yang baik serta terus menjaga agama saya," katanya.
Jelasnya lagi, ibu bapa angkatnya juga sudah mengetahui dia telah berjumpa ibu kandungnya dan menerimanya secara positif. - Sinar Harian