27 September tarikh keputusan inkues Adib
Bernama
Ogos 21, 2019 21:34 MYT
Ogos 21, 2019 21:34 MYT
Mahkamah Koroner di sini menetapkan 27 September depan sebagai tarikh keputusan prosiding inkues berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Koroner Rofiah Mohamad menetapkan tarikh tersebut selepas mendapati tiada lagi keperluan untuk prosiding inkues itu diteruskan selepas prosiding tersebut ditutup pada 24 Julai lepas.
“Selepas meneliti semua keterangan, tiada apa-apa lagi untuk diteruskan.
“Mahkamah menetapkan tarikh keputusan pada 27 September (2019), jam 10 pagi,” katanya hari ini.
Keputusan itu sekali gus menolak permohonan Pegawai Pengendali kes, Faten Hadni Khairuddin yang mencadangkan supaya seorang lagi saksi patologi dipanggil.
Rofiah sebelum itu turut memaklumkan mahkamah berpuas hati dengan keterangan saksi sedia ada.
Prosiding inkues telah bermula 11 Februari lalu dengan seramai 30 saksi dipanggil untuk memberi keterangan termasuk beberapa saksi pakar.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara (IJN). - Bernama