27 nelayan warga asing ceroboh perairan negara ditahan
Nur Fazlizai Ali
Julai 3, 2020 10:49 MYT
Julai 3, 2020 10:49 MYT
Seramai 27 nelayan asing warga Vietnam yang dipercayai merompak hasil laut negara dengan melakukan aktiviti tunda ganding dicekup.
Kesemua mereka ditahan pada jarak 134.6 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu sekitar jam 8.45 hingga 9 malam pada Rabu.
Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata pihaknya percaya nelayan berkenaan telah memotong pukat sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Jelas Muhammad Suffi, nelayan itu cuba meloloskan diri ke sempadan perairan negara mereka, namun berjaya dipintas pihak berkuasa.
"Kita percaya mereka sedang melakukan aktiviti tunda ganding dan ketika merapat bot, mereka telah membuang atau memotong pukat," kata Muhammad Suffi.
Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas kesemua nelayan yang berusia di antara 18 dan 53 tahun itu mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.
Muhammad Suffi juga tidak menolak kemungkinan kesemua nelayan asing itu telah berada di laut lebih dua minggu berdasarkan hasil tangkapan sebanyak tiga tan ikan yang dirampas.
Katanya, pihaknya turut merampas peralatan menangkap ikan, hasil laut serta bekalan diesel yang dianggarkan bernilai hampir RM2 juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.
#Akta Imigresen
#Akta Perikanan
#Muhammad Suffi Mohd Ramli
#nelayan asing
#rompak hasil laut negara
#tunda ganding
#Vietnam
#warga asing