27 nelayan Vietnam bersama dua tekong diberkas di perairan Kemaman

Astro Awani
September 9, 2020 06:51 MYT
Kedua-dua bot terbabit bertindak melarikan diri bagi mengelak dari ditahan apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa. - Astro AWANI
Seramai 27 nelayan warga Vietnam bersama dua tekong diberkas ketika leka mengaut hasil sumber laut negara pada Selasa.
Kesemua mereka, yang menaiki dua bot, ditahan kira-kira jam 11.50 pagi pada sekitar jarak 98 batu nautika dari Kuala Kemaman.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata, mereka bertindak melarikan diri ke perairan tersebut bagi mengelak dari ditahan apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Bagaimanapun, tindakan pantas pihaknya berjaya menyekat kedua-dua bot berkenaan.
“Kedua-duanya berpecah dan cuba melarikan diri dengan memotong tali pukat dan enggan bekerjasama untuk berhenti, pada awalnya.
“Bagaimanapun, hasil kecekapan kapal ronda maritim, kedua-dua bot berjaya juga ditahan,” katanya.
Rashidilhadi berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot terbabit tidak mempunyai permit untuk menangkap ikan di perairan negara.
Manakala kesemua nelayan, termasuk tekong, yang berumur 16 hingga 52 tahun, tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua nelayan dan bot dibawa ke Jeti Pengkalan Maritim Zon Kemaman untuk tindakan lanjut.
Susulan penahanan itu, pihak maritim turut merampas ikan pelbagai jenis seberat empat tan.
Rashidilhadi berkata, nilai hasil rampasan, termasuk bot, dianggarkan sekitar RM3 juta.
Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa permit dalam perairan negara dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
#bot #ceroboh #dokumen pengenalan diri #Jeti Pengkalan Maritim #Kemaman #Kuala Kemaman #lari #Maritim Malaysia #nelayan #perairan #permit #Rashidilhadi Abdul Rashid #sumber laut #tangkap #tekong #terengganu #Vietnam
;