Sejumlah 27 kampung di daerah Beaufort dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak Khamis lalu, kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Kolonel Muliadi Al-Hamdi Ladin.

Beliau berkata antara kampung terjejas ialah Kampung Binunuk; Kampung Bali Bata; Kampung Jampangah; Kampung Bakalau; Kampung Lumatai; Kampung Batu 60; Kampung Batu 58; Kampung Cina; Kampung Luagan; Kampung Lawa; Kampung Beringin dan Kampung Suasa.

Katanya beberapa kampung lain seperti Kampung Lago; Kampung Melati; Kampung Mempagar; Kampung Lajau; Kampung Lubak; Kampung Limbawang; Kampung Lupak dan Kampung Gadong turut terjejas berikutan bacaan paras air Sungai Padas kini berada pada paras bahaya.

Foto Facebook.com / Rosimah Tasim

"Sungai Padas berada pada paras 9.16 meter (m), melebihi tahap paras bahaya 8.7m. Trend air ada sedikit menurun tetapi masih berada pada paras bahaya dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa. Keadaan cuaca mendung ketika ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muliadi berkata terdapat empat sekolah di Beaufort terjejas banjir iaitu Sekolah Menengah St Paul; Sekolah Kebangsaan (SK) Lago; SK Suasa dan Sekolah Agama Negeri Limbawang; selain 12 laluan utama di kawasan kampung turut dinaiki air.

Belum ada pusat pemindahan dibuka setakat ini kerana keadaan masih terkawal, katanya.

-- BERNAMA