27 gerakan mahasiswa Malaysia kemuka 8 tuntutan kepada KPT

Rahimah Abdullah
September 11, 2021 22:05 MYT
Mubarak menyerahkan memorandum lapan tuntutan 27 gerakan mahasiswa Malaysia kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad. - Foto ihsan UMNOSISWA
KUALA LUMPUR: Sejumlah 27 gerakan mahasiswa seluruh Malaysia mengemukakan lapan tuntutan berkenaan pembukaan semula institusi pengajian tinggi (IPT) kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Presiden Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia (UMNOSISWA) Mubarak Kunyi berkata, mereka antara lain, menuntut sesi pembelajaran diteruskan secara dalam talian, namun mahasiswa perlu diberi pilihan untuk pulang ke kampus atau kekal di kediaman masing-masing.
Selain itu, kemasukan mahasiswa ke kampus bagi sidang 2021/2022 perlu diberi keutamaan kepada mahasiswa yang berkeperluan.
Malah katanya, kementerian juga perlu memberikan keutamaan kepada mahasiswa yang telah lengkap vaksinasi selain ujian saringan COVID-19 secara percuma bagi setiap mahasiswa yang akan mendaftar masuk secara fizikal di kampus.
Selain itu, kementerian berkenaan perlu mengeluarkan garis panduan yang jelas dan mudah difahami semua mahasiswa serta memberikan jangka masa yang fleksibel kepada mahasiswa untuk pulang ke kampus mengikut kesesuaian dan keupayaan semasa mereka.
"Portal Rumah Sewa Siswa perlu diperkasa supaya menjadi peneraju kepada harga sewaan yang berpatutan selain mencadangkan untuk pihak KPT dengan kerjasama IPT serta kerajaan negeri untuk memberikan subsidi bagi menampung sebahagian kos pengangkutan terutamanya kos penerbangan.
"Caj pengangkutan perlu diletakkan pada harga yang munasabah dan jika boleh, dapat diusahakan untuk diberikan secara percuma kepada mahasiswa," kata Mubarak dalam satu kenyataan.
Beliau sebelum itu menyerahkan memorandum lapan tuntutan 27 gerakan mahasiswa Malaysia itu kepada Menteri Pengajian Tinggi pada Sabtu.
Pada pertemuan itu, beliau juga menyampaikan hasrat dan pandangan mahasiswa yang mahu yuran pengajian dikurangkan bagi mengurangkan beban kewangan mereka.
"Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah memberi respon yang positif di mana kementerian komited dalam membantu rakan-rakan mahasiswa termasuklah berkaitan masalah yuran ini.
"UMNOSISWA berharap pandangan dan cadangan yang telah disampaikan ini dapat dipertimbangkan oleh YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan KPT. Semoga ada berita baik buat mahasiswa," tambahnya lagi.
Selain UMNOSISWA, antara 27 gerakan mahasiswa Malaysia yang terlibat ialah Kelab Mahasiswa Penyokong Pas - Siswa Pas, Mahasiswa Amanah Nasional, Mahasiswa Keadilan Malaysia, Mahasiswa Roket, Majlis Perundingan Persada Kebangsaan, Rakan Siswa YADIM, Dewan Muda Johor dan Undi 18.
#COVID-19 #Institusi Pengajian Tinggi #IPT #Malaysia #gerakan mahasiswa Malaysia #tuntutan #noraini ahmad #Umnosiswa #Mubarak Kunyi
;