263 spesies hidupan marin di Taman Laut Melaka
Bernama
Oktober 21, 2023 06:29 MYT
Oktober 21, 2023 06:29 MYT
MELAKA: Jabatan Perikanan negeri mengenal pasti 263 kelbagaian spesies biodiversiti marin di sekitar perairan Taman Laut Melaka terdiri Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol.
Timbalan Pengarahnya, Nawar Abd Karim berkata hasil kajian di kawasan itu mendapati antara spesies yang wujud adalah terumbu karang jenis acropora yang kebiasaannya terdapat di pantai timur negara ini.
"Keberadaan spesis terumbu karang tersebut di sini juga menunjukkan tahap kualiti air di perairan Taman Laut Melaka ini masih baik, tidak dicemari dan tidak diterokai.
"Kawasan pulau ini juga setanding dengan 42 pulau yang terdapat di Malaysia dengan khazanah dalam lautnya yang masih terpelihara selain kita dapati saiz terumbu karang yang lebih besar, pelbagai warna dan masih tidak terusik," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Terdahulu, beliau hadir pada program Tanggungjawab Sosial (CSR) dan promosi Taman Laut Melaka bersama Pengamal di Pulau Besar, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pembangunan Pulau-pulau Melaka (MPPM), Azhar Yaacob.
Mengulas lanjut, Nawar berkata setakat ini kira-kira 1,200 pengunjung direkodkan telah berkunjung ke Taman Laut Melaka sejak kawasan itu diwartakan pada April lepas.
Katanya, namun pihaknya sedang mengenal pasti kesesuaian mengehadkan jumlah pengunjung kepada 200 orang sebulan untuk memastikan sumber marin di kawasan itu kekal terpelihara.
"Selain itu pengunjung ke Taman Laut Melaka ini perlu menggunakan khidmat bot milik operator berdaftar supaya kehadiran pengunjung dapat dikawal dan aktiviti air tidak menjejaskan sumber laut yang terdapat di situ.
"Pengunjung boleh melakukan aktiviti mandi pantai, selam skuba, selam snorkel dan lawatan pulau-pulau bermula dari jaml 8 pagi hingga 6 petang," katanya.
Sementara itu, Azhar berkata selain aktiviti selam skuba atau snorkeling, pengunjung juga berpeluang untuk melihat rumah api yang terdapat di puncak Pulau Undan yang dibina pada tahun 1880.
Katanya, ia merupakan rumah api kedua dibina di negara ini dan monumen sejarah itu masih lagi berfungsi dan diselia di bawah Jabatan Laut Malaysia.
"Jika ada pengunjung berminat boleh diaturkan melawat bangunan itu secara berkala kerana ia tidak dibuka kepada orang ramai sepanjang masa.
"Selain itu MPPM juga akan meneruskan usaha mempromosi Taman Laut Melaka ini supaya lebih ramai yang berkunjung dan melihat sendiri keindahan dan keunikan pulau-pulau tersebut terutamanya menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024)," katanya.
-- BERNAMA