26 warga Bangladesh diselamatkan, majikan gagal beri pekerjaan
Bernama
April 6, 2023 04:15 MYT
April 6, 2023 04:15 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 26 warga Bangladesh diselamatkan dari sebuah rumah di Pelabuhan Klang, Selangor dalam Operasi Menyelamat yang dilaksanakan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bersama Jabatan Tenaga Kerja Selangor pada Khamis
JTKSM dalam kenyataan memaklumkan kesemua mereka yang diselamatkan pada pukul 12.30 tengah hari itu telah berada di negara ini selama hampir dua bulan selepas dibawa masuk pada 15 Feb lepas.
"Mereka masuk secara sah namun malangnya, majikan gagal memberikan pekerjaan dan menyebabkan mereka tiada sumber pendapatan. Operasi Menyelamat dilakukan bagi mengelakkan para pekerja ini menjadi mangsa penipuan pekerjaan seterusnya membawa kepada berlakunya buruh paksa.
Kesemua 26 pekerja terbabit telah dibawa dan ditempatkan di rumah perlindungan yang dirahsiakan lokasinya untuk keselamatan mereka," menurut kenyataan itu.
Operasi yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM Mohd Asri Abdul Wahab dilaksanakan selepas menerima aduan daripada orang awam.
Menurut kenyataan itu, JTKSM akan membantu dalam urusan mendapatkan gaji para pekerja terbabit dalam tempoh terdekat selain akan memastikan mereka diberi pekerjaan seperti yang dijanjikan atau langkah terakhir dihantar pulang ke negara asal.
JTKSM juga menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang isu yang membawa kepada elemen buruh paksa yang boleh menjejaskan imej negara.
"Semua majikan tidak kira apa juga sektor diseru agar dapat melaksanakan tanggungjawab sewajarnya selepas membuat permohonan pekerja asing seperti penempatan pekerjaan yang dijanjikan dan juga penginapan yang kondusif.
Majikan juga diingatkan agar mematuhi kriteria dan garis panduan yang diwajibkan semasa mereka memohon kuota penggajian pekerja asing bagi mengelakkan pembekuan mahupun tindakan disenaraihitamkan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA