26 tangkapan bot nelayan direkod sepanjang Operasi Mardof
Bernama
Februari 26, 2022 16:32 MYT
Februari 26, 2022 16:32 MYT
LUMUT: Sebanyak 26 kes tangkapan bot nelayan tempatan dan warga asing direkodkan dalam Operasi Mardof 1/22 oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Perikanan Negeri Perak yang dilaksanakan sejak 15 Jan hingga semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Kamaruszaman Abu Hassan berkata jumlah itu membabitkan 25 kes bot nelayan tempatan serta satu kes tangkapan bot nelayan asing melibatkan warganegara Myanmar.
Beliau berkata sebanyak 277 pemeriksaan darat dan laut dilakukan sepanjang operasi berkenaan melibatkan sektor operasi di perairan Perak, Labuan, Pahang dan Bintulu, Sarawak melibatkan 23 aset laut kedua-dua agensi seperti pesawat, kapal dan bot ronda.
"Fokus operasi tertumpu kepada pemeriksaan vesel dan kru serta kempen kesedaran keselamatan bagi mengenal pasti kesalahan-kesalahan berkaitan Akta Perikanan 1985," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak di sini hari ini.
Kamaruszaman berkata menerusi aktiviti pemeriksaan dan operasi di laut terutamanya di sekitar Zon A, memanfaatkan komuniti nelayan tradisional menjalankan aktiviti perikanan tanpa perlanggaran atau pencerobohan zon aktiviti perikanan oleh bot nelayan tempatan kelas B dan kelas C, bot pukat tunda, penggunaan bubu naga serta bot nelayan asing.
Dalam pada itu, beliau berkata operasi Mardof antara Maritim Malaysia dengan Jabatan Perikanan Negeri Perak dilaksanakan bagi memperkasakan kemahiran teknikal penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan kepakaran pengendalian siasatan terutamanya berkaitan kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Perikanan 1985.
"Kerjasama ini juga dilihat sebagai satu inisiatif kedua-dua agensi membangunkan keupayaan sumber manusia sejajar dengan tuntutan semasa terutamanya dalam menangani isu melibatkan Akta Perikanan 1985 berikutan perubahan syarat dan peraturan berkaitan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara kepada warga asing yang terlibat dalam aktiviti perikanan," katanya.
-- BERNAMA