26 kanak-kanak maut akibat COVID-19 dalam tempoh enam bulan lepas - KJ
Ridauddin Daud
Februari 3, 2022 14:48 MYT
Februari 3, 2022 14:48 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 26 kanak-kanak meninggal dunia akibat COVID-19 dalam tempoh enam bulan yang lepas, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Bahkan, katanya, lebih 147,000 kanak-kanak berusia antara 5 hingga 11 tahun telah dijangkiti virus tersebut dan angka itu jelas menunjukkan virus berkenaan masih boleh menyerang golongan itu.
“Maknanya kanak-kanak tidak terlindung. Walaupun jumlah kes tidak tinggi berbanding golongan dewasa tetapi mereka masih boleh dijangkiti dan akan ada kesan yang teruk kepada sebahagian daripada mereka termasuk radang.
“Kesan jangka masa panjang COVID-19 atau long covid, itu sebab kita galakkan supaya ibu bapa daftarkan anak-anak mereka dapatkan vaksin COVID-19.
“Lebih-lebih lagi sekarang sekolah sudah dibuka, mereka berjumpa dengan rakan-rakan dan kluster pun dah banyak, itu sebab kita perkenalkan PICKids ini,” katanya ketika bersiaran secara langsung dalam Buletin AWANI pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, bekalan vaksin untuk PICKids buat masa ini mencukupi gkerana negara akan menerima bekalan vaksin dalam masa terdekat.
“Kita akan terima pada Februari lebih dua juta dos. Jadi kalau sasaran 50 peratus daripada 3.6 juta kanak-kanak, maka cukup untuk kita capai sasaran 50 peratus menjelang akhir Februari.
“Baki memang cukup, Kita juga telah kaji keberkesanan dan keselamatan mengikut data dan kita dapati buat masa ini hanya vaksin Pfzier sahaja yang kita rasa cukup data keberkesanan.
“Kita tidak tolak kemungkinan akan ada vaksin lain diluluskan namun buat masa ini hanya vaksin Pfizer diluluskan,” ujarnya.