26,500 anggota TDM penerima awal vaksin COVID-19 fasa pertama

Bernama
Februari 20, 2021 18:59 MYT
Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain memeriksa perbarisan pada acara Perbarisan Tamat Perajurit Muda Lelaki Siri 192/20 dan Wanita Siri 46/20 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada Sabtu. Gambar BERNAMA
PORT DICKSON: Seramai 26,500 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di seluruh negara akan menjadi penerima awal suntikan vaksin COVID-19 pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dijadualkan bermula pada 26 Feb ini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, pemberian vaksin itu akan diutamakan kepada anggota yang bertugas di kawasan zon merah COVID-19 bertujuan mengurangkan penularan wabak itu sekali gus melindungi petugas barisan hadapan ketika menjalankan tugas.
"Setiap seorang akan terima dua dos, jadi kita akan terima lebih 52,000 dos suntikan... Insya-Allah dengan kerjasama daripada semua pihak saya harap semua barisan hadapan yang berada di red zone (zon merah) dapat diberi vaksin secepat mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perbarisan Tamat Perajurit Muda Lelaki Siri 192/20 dan Wanita Siri 46/20 di Pusat Latihan Asas Tentera, di sini hari ini.
Esok, Malaysia akan menerima 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 yang akan diterbangkan dengan penerbangan pesawat penumpang Malaysia Airlines ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diasingkan sebelum dihantar ke pelbagai tempat penyimpanan vaksin di seluruh negara.
Fasa pertama program imunisasi itu bermula Februari hingga April melibatkan petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi, iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Fasa ketiga pula melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas, bermula dari Mei hingga Februari tahun depan.
Dalam pada itu, beliau berkata, TDM kini bersiap siaga sekiranya diperlukan dalam membantu menjaga keselamatan vaksin COVID-19 setibanya di negara ini termasuk di pusat-pusat simpanan vaksin berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Zamrose berkata, pihaknya dalam perancangan menggantikan kereta perisai Condor 4x4 APC (armoured personal carrier) dan kereta perisai Scorpion berikutan kedua-dua aset TDM itu telah lama digunakan.
"Memang dalam perancangan... ia akan dilakukan berfasa-fasa, seperti yang telah diamanatkan Kementerian Pertahanan, kita akan memberi keutamaan kepada produk tempatan," katanya.
Terdahulu, seramai 1,769 Perajurit Muda, yang terdiri daripada 1,538 Perajurit Muda Lelaki dan 231 Perajurit Muda Wanita menamatkan latihan bagi pengambilan kali ini yang dilakukan dalam dua sesi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan. - BERNAMA
#vaksin COVID-19 #vaksin #COVID-19 #Tentera Darat Malaysia #TDM #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Panglima Tentera Darat #Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain
;